Doktor pertama lakukan pemindahan tangan, wajah meninggal dunia

Jean-Michel Dubernard. - Foto AFP
Jean-Michel Dubernard. - Foto AFP
A
A
A

LYON - Seorang doktor Perancis yang menjadi pelopor kerana melakukan pemindahan tangan dan sebahagian wajah manusia telah meninggal dunia ketika berumur 80 tahun, kata seorang rakannya kepada agensi berita AFP pada Ahad.

Doktor itu, Jean-Michel Dubernard yang menjadi ahli perubatan paling terkenal di negara tersebut ketika beliau bekerja di bandar Lyon, tenggara Perancis pengsan secara tiba-tiba di sebuah lapangan terbang di Istanbul, Turki pada malam Sabtu lalu.

Menurut rakannya itu yang enggan namanya didedahkan berkata, ketika Dubernard pengsan ketika beliau berada bersama keluarganya.

Pada September 1998, beliau mengetuai pemindahan satu tangan untuk seorang lelaki dari New Zealand iaitu yang pertama kali dilakukan di dunia.

Ketika itu, beliau menggunakan satu tangan kanan seorang lelaki berusia 41 tahun yang meninggal dunia untuk dipindahkan kepada seorang lelaki lain yang kehilangan tangan berikutan kemalangan semasa dipenjara pada tahun 1984 yang melibatkan penggunaan gergaji bulat.

Pemindahan tangan itu dilakukan di sebuah hospital di Lyon selama 13 jam.

Pada November 2005, beliau melakukan pembedahan pemindahan hidung, dagu dan bibir ke atas seorang wanita, Isabelle Dinoire selepas wajahnya cedera akibat diserang oleh seekor anjing peliharaannya.

Pemindahan itu dilakukan dengan menggunakan organ-organ dari seorang penderma organ yang meninggal dunia akibat otaknya tidak berfungsi di sebuah hospital di Amiens Picardie, Perancis dalam pembedahan selama 15 jam.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Dinoire meninggal dunia pada tahun 2016 iaitu 11 tahun selepas pemindahan organ selepas menghidap beberapa jenis kanser dan perubahan mood.

Menurut beberapa laporan, kanser yang dihidapinya itu mempunyai kaitan dengan ubat-ubat yang perlu diambilnya pada setiap hari bagi menghentikan tubuh badannya daripada menolak penerimaan orang-organ baharunya. - Agensi