21 pesakit Covid-19 perlu bantuan mesin pernafasan

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 21 daripada 27 pesakit Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di dua hospital di Pahang memerlukan bantuan mesin pernafasan.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Dr Bahari Tok Muda Che Haji Awang Ngah berkata, kesemua mereka menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (HoSHAS).

Menurutnya, sebanyak 17 kes di ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) dan 10 kes di ICU Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (HoSHAS).

"Sebanyak 2,104 kes positif sedang dirawat di lapan hospital di Pahang dan tujuh buah Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 (PKRC) manakala 198 kes berada dalam pengawasan di rumah oleh pasukan CAC," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dr Bahari turut memaklumkan tujuh PKRC yang terlibat ialah PKRC Universiti Malaysia Pahang (UMP), PKRC Institusi Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (iKPKT) di Bukit Tinggi, Bentong, PKRC Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kuantan, Hotel Seri Malaysia, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah) (KUIPSAS), Hospital Jengka dan PKRC Kompleks Sukan Pahang (Sukpa).

Beliau menjelaskan jumlah kes baharu yang didaftar pada Ahad ialah sebanyak 270 membabitkan warga tempatan manakala 30 kes merupakan warganegara asing.

"Sebanyak 293 kes dikategorikan sebagai jangkitan tempatan, lima kes import dan dua saringan Orang Kena Tahan (OKT)," katanya.

Katanya, terdapat 111 kes diperoleh daripada saringan kluster, 147 saringan kontak rapat, 20 saringan bergejala, 15 saringan bersasar, saringan pra prosedur (3), saringan OKT (2), saringan pengembara (1) saringan pekerjaan (1).

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau juga memberitahu, sebanyak sembilan daerah berada dalam zon merah iaitu daerah Bentong, Bera, Cameron Highlands, Jerantut, Kuantan, Maran, Pekan, Lipis dan Temerloh, manakala daerah Rompin dan Raub berada di zon oren.

Tambahnya, 10 daerah mencatatkan pertambahan kes dan daerah Kuantan merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 213 kes diikuti Temerloh (21), Bentong (21), Jerantut (16), Maran (10 ), Raub (7), Pekan (6), Bera (3 ), Lipis (2) dan Cameron Highlands (1).

"Sebanyak 300 kes baharu dilaporkan pada Ahad menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif Covid-19 Pahang telah mencecah ke angka 16,148 kes," katanya.