Melayu perlu kembali kepada perjuangan asal: Suhaimi

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Orang Melayu diharapkan supaya lebih peka terhadap realiti politik semasa yang menuntut kepada penyatuan kaum itu.

Bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno Selangor, Datuk Suhaimi Mohd. Ghazali berkata, penyatuan tersebut boleh direalisasikan menerusi satu wadah perjuangan baharu yang mampu membela agama, bangsa dan negara pada masa depan.

Katanya, orang Melayu tidak harus merasa nostalgik sehingga menyekat mereka untuk melaksanakan sesuatu perubahan untuk kebaikan diri sendiri.

"Dalam soal politik bangsa ini (Melayu), memang sudah ada parti yang asasnya untuk membela masa depan mereka. Namun asas itu tidak diikuti pemimpinnya sehingga kedudukan orang Melayu masih tidak berubah seperti yang diharapkan.

"Sebaliknya orang Melayu boleh melaksanakan perubahan itu melalui wadah perjuangan baharu. Maka saya rasakan asas pembelaan orang Melayu dan Bumiputera itu wujud menerusi Bersatu," katanya kepada pemberita di sini malam semalam.

Pada masa sama, Suhaimi yang juga bekas Adun Dengkil memaklumkan bahawa beliau telah menyertai Bersatu kerana yakin dengan agenda perjuangan parti itu yang diterajui kepimpinan yang berpengalaman luas dalam mengurus tadbir negara.

Malah, keyakinan itu katannya turut disertai lebih 500 orang Melayu di kawasan Parlimen Sepang yang bersama-sama menyerahkan borang keahlian Bersatu masing-masing sebelum ini.

"Kita saksikan jumlah (keahlian) itu semakin terus bertambah. Apa yang kita harapkan ialah orang Melayu dan Bumiputera lain bersatu," ujarnya.

Terdahulu, Suhaimi menyerahkan buku senarai nama keahlian kawasan Parlimen Sepang kepada Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia, Abu Bakar Yahya yang juga merupakan Setiausaha Politik Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan: