Kegiatan membeli dorong Bursa Malaysia dibuka tinggi

No Image Caption
A
A
A

BURSA Malaysia memulakan urus niaga minggu ini dengan nada yang lebih tinggi, dirangsang oleh kegiatan membeli ketika saham berharga murah yang berterusan sejak Jumaat minggu lepas.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.32 mata kepada 1,522.90 daripada penutupan Jumaat lepas iaitu 1,520.58.

Indeks utama dibuka 1.65 mata lebih tinggi pada 1,522.23.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 197 berbalas 149 manakala 263 kaunter tidak berubah, 1,608 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung urus niaga.

Jumlah dagangan ialah pada 240.37 juta unit bernilai RM111.88 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pelabur cenderung untuk mengambil sikap berhati-hati berikutan kekurangan petunjuk baharu selain bimbang dengan perkembangan politik semasa serta kadar jangkitan Covid-19 yang tinggi, yang mungkin menenggelamkan kadar peningkatan pemberian vaksin yang semakin baik.

"Sementara itu, pasaran akan turut memantau data jualan pengeluaran industri dan runcit Malaysia yang akan diumumkan hari ini. Bagi komoditi pula, kedua-dua harga minyak sawit mentah (MSM) dan harga minyak mentah dilihat terus meningkat, ” kata firma broker itu.

Ia turut menambah sektor teknologi dijangka menjadi tumpuan, didorong oleh prestasi semalaman yang positif di Wall Street.

Artikel Berkaitan:

"Kami yakin situasi kawalan pergerakan di Malaysia secara beransur-ansur mereda dan itu mungkin menjadi pertanda baik untuk saham bertemakan pemulihan seperti pelancongan, penerbangan, harganah dan pembinaan.

"Selain itu, kaunter tenaga dan perladangan mungkin meningkat sedikit seiring dengan harga komoditi," tambahnya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun 2 sen kepada RM8.11, Public Bank naik 1 sen kepada RM4.04, TNB susut 3 sen kepada RM9.66, sementara Petronas Chemicals, IHH Healthcare dan CIMB masing-masing tidak berubah pada RM8.06, RM5. 61 dan RM4.49.

Bagi saham aktif, Serba Dinamik meningkat 1.5 sen kepada 47 sen, YBS melonjak 7.5 sen kepada 43 sen, Asdion turun 9.5 sen kepada 32 sen dan MPay menambah 1 sen kepada 26 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 22.18 mata pada 11,092.29, Indeks FBMT 100 mengukuh 21.84 mata kepada 10,803.76, dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 21.63 mata kepada 12,132.41.

FBM ACE mengembang 50.58 mata kepada 7,225.62 dan FBM 70 naik 50 mata kepada 14,374.93.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 28.42 mata kepada 14,984.05, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.22 mata kepada 187.74 dan Indeks Perladangan naik 17.97 mata kepada 6,308.40. - Bernama