Tok Bali berpotensi pacu ekonomi Kelantan

Mustapa - Foto Bernama
Mustapa - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Pelaksanaan projek untuk membangunkan kawasan Tok Bali, Pasir Puteh akan diberi keutamaan oleh kerajaan kerana ia dilihat berpotensi menjadi pemacu dalam tranformasi ekonomi di Kelantan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia juga bagi memastikan penyelarasan kawasan itu secara komprehensif, memudah cara pelaksanaan projek dan usaha menarik pelaburan bagi mempercepatkan pembangunan.

Katanya, sehingga Jun lalu, kerajaan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) memperuntukkan RM297.7 juta iaitu membabitkan RM200 juta untuk Taman Industri Tok Bali (TBIP), Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) RM67.7 juta dan menaik taraf Jalan Tok Bali-Pasir Puteh (RM30 juta).

“Mesyuarat kedua Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Tok Bali memutuskan bahawa projek yang sedang dan bakal dilaksanakan di kawasan itu perlu diberi keutamaan kerana berpotensi menjadi ‘game changer’ dalam transformasi ekonomi di negeri itu.

“Pelaburan oleh pihak swasta yang komited di Tok Bali sehingga Jun lalu berjumlah RM1.75 bilion dengan RM329 juta sudah direalisasikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau sebelum itu bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mempengerusikan Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Tok Bali secara maya.

Mustapa berkata, turut diberi penekanan sektor minyak dan gas, pembuatan, logistik, perkhidmatan serta industri perikanan yang berupaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi, memberi peluang pekerjaan pendapatan tinggi serta peluang keusahawanan kepada masyarakat setempat.

“Kerajaan menyasarkan menarik pelaburan berkualiti tinggi ke Tok Bali menerusi pelaksanaan projek berimpak tinggi yang sedang serta sudah dilaksanakan.

“Pembangunan destinasi pelaburan Tok Bali akan membawa manfaat ekonomi kepada rakyat tempatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmad berkata, kerajaan negeri memulakan perancangan membangunkan Inland Port Pasir Puteh selain Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) diharap mempercepatkan pelaksanaan Kajian Sempadan Antarabangsa Malaysia-Thailand (KSAMT).

“Selainnya, ECERDC melaksanakan Pelan Transformasi TBIFP bagi memperkukuhkan rantaian perikanan dan pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan dalam menghasilkan produk berasaskan ikan bernilai tinggi.

“Garis masa pelaksanaan Pelan Transformasi juga perlu dimuktamadkan bagi memastikan semua isu berkaitan pelaburan dan bekalan ikan dapat ditangani segera,” katanya.