MAFI Prihatin bantu golongan terkesan Covid-19

Ahmad (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan MAFI Prihatin kepada Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Johor, Ahmad Abu Bakar di Rumah Barkat, Johor Bahru pada Sabtu.
Ahmad (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan MAFI Prihatin kepada Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Johor, Ahmad Abu Bakar di Rumah Barkat, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - MAFI Prihatin yang merupakan program inisiatif Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memberi manfaat kepada orang ramai terutama pemberian bantuan berupa pelbagai jenis komoditi hasilan pertanian dan industri makanan kepada golongan yang terkesan dengan Covid-19 termasuk petugas barisan hadapan.

Melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sahaja, ia telah memberi manfaat kepada 22,774 orang yang terdiri daripada barisan hadapan, badan kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di 89 lokasi di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, setakat ini sebanyak 38.61 tan metrik hasil pertanian dan produk industri makanan telah disalurkan.

Menurutnya, seramai 436 usahawan tani telah dibantu untuk memasarkan 51 jenis hasilan pertanian dan produk mereka yang mengalami kesukaran dalam menjalankan aktiviti pemasaran semasa tempoh Sekatan Pergerakan Penuh.

“Dalam siri lawatan kerja di Johor kali ini, MAFI turut menyerahkan sumbangan MAFI Prihatin kepada yang memerlukan iaitu hasilan pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan di sini dengan kerjasama Koperasi Pemasar FAMA Johor Berhad.

“Seramai 300 orang penerima terdiri daripada petugas dan penghuni Pertubuhan Kebajikan Anak- anak Yatim Johor (Rumah Barkat) dan beberapa lagi rumah kebajikan yang mendapat manfaat dalam program ini dengan agihan sebanyak 800 kilogram terdiri dari komoditi buah pisang berangan, rambutan, nanas Josapine, timun, sayur-sayuran berdaun dan barangan runcit,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Projek Pertanian dan Outlet Pemasaran FAMA Negeri Johor serta Penyerahan bantuan MAFI Prihatin di sini pada Sabtu yang turut disertai Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli.

Sementara itu katanya, inisiatif Pasar Segar Terkawal (PST) di bawah FAMA telah menyumbang kepada nilai jualan sebanyak RM48.67 juta dengan melibatkan seramai 2,192 petani bagi memasarkan tanaman mereka di 55 PST seluruh Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, kerajaan merancang untuk menambah bilangan PST dan pasar tani bagi memastikan kelangsungan bekalan dan mempercekapkan pengedaran makanan negara.

“Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, majoriti sektor terpaksa ‘direhatkan’ dan implikasinya begitu besar apabila semua sektor menguncup kecuali sektor pertanian dan industri makanan yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.3 peratus pada tahun lalu.

“PST ini beroperasi di semua negeri termasuk negeri yang tergolong dalam fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) manakala Pasar Tani pula dibenarkan beroperasi di negeri yang sudah memasuki fasa kedua PPN sahaja seperti di Pahang, Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

“Melihat kepada perkembangan yang positif, dijangka sebanyak 10 PST dan 14 pasar tani lagi akan memulakan operasinya dalam tempoh terdekat dan ini akan melibatkan lebih 2,595 petani untuk berniaga dan memasarkan hasil pertanian mereka,” katanya.

Tambahnya, enam PST Johor telah menyumbang RM3 juta daripada nilai jualan keseluruhan yang dibantu oleh permintaan pasaran dari Singapura.

“Ketika ini kita dapat melihat peningkatan hasil jualan sebanyak 1,200 hingga 1,300 tan metrik sehari berbanding sebelum ini kira-kira 900 tan metrik. Kita telah menjangkakan trend peningkatan ini apabila membuka PST yang bukan sahaja dapat memasarkan produk pertanian namun memastikan ia terjual dalam masa ditetapkan,” katanya.

Ahmad melihat baka kambing kacukan Katjang-Boer ketika melawat Pusat Kecemerlangan Penyelidikan (COE) Haiwan Ternakan di MARDI Kluang.
Ahmad melihat baka kambing kacukan Katjang-Boer ketika melawat Pusat Kecemerlangan Penyelidikan (COE) Haiwan Ternakan di MARDI Kluang.

Projek fertigasi timun tuai hasil pertama

Projek fertigasi timun yang dijalankan oleh Koperasi Pemasar FAMA Johor Berhad berjaya menuai hasil pertamanya berjumlah 11 metrik tan akhir Jun lalu.

Dibangunkan di kawasan seluas 0.8 hektar (dua ekar), projek di bawah program Pusat Rujukan Pemasaran Hasil Pertanian Berteknologi itu dibangunkan di kawasan tanah Pejabat FAMA Johor bermula awal Mei lalu.

Pengerusi Lembaga Pengarah Koperasi Pemasar FAMA Johor Berhad, Awi @ Sapawi Johari berkata, pada peringkat permulaan, sebanyak 1,000 polibeg timun ditanam di kawasan seluas 0.4 hektar (satu ekar) dengan dibantu dua pekerja.

“Bagi menjayakan projek fertigasi ini, kami beruntung kerana sejumlah pembiayaan telah diperuntukkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi memberi galakan kepada usahawan tani menceburi bidang ini

“Alhamdulillah percubaan untuk menjayakan tanaman timun ini berjaya dan kita telah tuai sepenuhnya. Kita bercadang untuk menanam timun juga bagi pusingan kedua dan kemungkinan tanaman cili, terung dan peria pada masa akan datang.

“Memandangkan kawasan pertanian yang besar, kita boleh mempelbagaikan jenis tanaman. Kami merancang untuk menjadikan projek fertigasi sebagai tarikan pelancongan khususnya dari Singapura.

“Secara kebetulan projek ini bersebelahan Pasar Tani Kekal Datin Halimah, Larkin yang menjadi pilihan pelancong dari seberang tambak itu. Kita melihat potensi projek ini untuk berkembang dan memberi peluang kepada pengunjung untuk memetik sendiri tanaman yang ingin dibeli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan kerja Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah ke Pusat Rujukan Pemasaran Hasil Pertanian Berteknologi yang dibangunkan di Pejabat FAMA Johor dengan kerjasama Koperasi Pemasar FAMA Johor Berhad (KPFJB) di Larkin pada Sabtu.

Sementara itu, Ahmad ketika ditemui berkata, FAMA juga membangunkan 20 Pusat Rujukan Pemasaran Hasil Pertanian Berteknologi di seluruh negara yang berfungsi untuk mewujudkan kerjasama strategik usahawan tani dan agensi di bawah MAFI.

Info MAFI Prihatin FAMA

89 lokasi

14 negeri terlibat

22,774 penerima manfaat

RM114,281 jumlah peruntukan

6,327 set produk industri makanan

51 komoditi benih dan sayur

38.61 tan metrik makanan

436 usahawan tani dibantu