Sinar lagi dua minggu

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

KENYATAAN Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah bahawa kes positif Covid-19 dijangka menurun dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi memberi sedikit kelegaan kepada rakyat Malaysia.

Kata Dr Noor Hisham, proses vaksinasi yang giat dilaksanakan di seluruh negara serta kawalan kesihatan awam yang masih dikuatkuasakan seperti sekatan pergerakan mampu melandaikan semula keluk jangkitan wabak itu.

Sudah pasti ramai yang berharap jangkaan itu menjadi kenyataan kerana situasi yang berlaku sejak awal minggu ini menyebabkan rakyat tertekan apabila kes positif menghampiri angka 10,000.

Menambahkan kebimbangan apabila melihat pesakit positif beratur kira-kira 500 meter di laluan pejalan kaki untuk memasuki Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati, Shah Alam.

Menguatkan lagi keresahan itu apabila gambar di dalam CAC menunjukkan jumlah pesakit positif yang makin bertambah. Keadaan terus meruncing apabila wad hospital yang merawat pesakit Covid-19 amat kritikal dan hampir lumpuh apabila jumlah katil tidak lagi dapat menampung pesakit.

Ada yang terpaksa berbaring di atas lantai dan ada juga yang diberi rawatan di atas kerusi.

Paling terkesan apabila mendapat perkhabaran ada dalam kalangan rakan-rakan, saudara terdekat yang positif dan amat menyedihkan ada antaranya yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Oleh itu, dalam tempoh dua minggu ini kita perlu bersungguh-sungguh untuk memastikan jangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia bahawa jumlah kes kembali menurun menjadi kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Di pihak rakyat, mereka perlu memainkan peranan dengan terus kekal berada di rumah kerana varian yang menyerang kali ini lebih agresif. Kerajaan pula wajar mengambil iktibar daripada kesan gelombang kedua Covid-19 dan tidak tergesa-gesa untuk membuka beberapa sektor yang boleh mencetuskan lagi lonjakan kes baharu yang akhirnya menyebabkan semua rakyat sengsara.

Teguran sesetengah pihak bahawa tiada tindakan secara bersepadu dan arahan koordinasi daripada peringkat atas sehingga bawah sehingga menjadi punca mengapa negara tidak dapat keluar daripada gelombang ketiga Covid-19 harus diterima pihak berkuasa dengan berlapang dada.

Semua pihak perlu sama-sama berganding bahu kerana tanpa kesepaduan, sampai bila-bila pun Malaysia tidak dapat keluar daripada kemelut ini.