Jabatan Laut tubuh pasukan siasatan kes kapal berlanggar di Muar

Laporan Sinar Harian pada Ahad mengenai sebuah kapal tangki dan sebuah kapal kargo berlanggar di kedudukan 14.1 batu nautika barat daya kuala Sungai Muar, tengah malam Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Ahad mengenai sebuah kapal tangki dan sebuah kapal kargo berlanggar di kedudukan 14.1 batu nautika barat daya kuala Sungai Muar, tengah malam Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah pasukan siasatan telah memulakan siasatan awal bagi mengenal pasti punca kemalangan dua kapal di perairan Muar, Johor malam, Sabtu di samping mengemukakan pelbagai syor yang berkaitan supaya kejadian seumpama itu tidak berulang.

Jabatan Laut Malaysia dalam satu kenyataan pada malam, Ahad memaklumkan siasatan awal pasukan yang ditubuhkannya itu mendapati kapal MV Gagapagos telah hilang kawalan semasa pelayaran yang menyebabkan berlakunya pelanggaran di antara kedua-dua kapal, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Jabatan Laut Malaysia juga telah mengarahkan kedua-dua kapal untuk berlabuh di tempat selamat bagi tujuan verifikasi kerosakan dan siasatan lanjut.

"Pada masa ini, pasukan siasatan kemalangan kapal Jabatan Laut Wilayah Selatan (JLWS) sedang menjalankan siasatan ke atas kapal-kapal berkenaan," menurut kenyataan itu.

Insiden tengah malam semalam menyaksikan sebuah kapal tangki MV Galapagos dan sebuah kapal kargo MV Zephyr Lumos berlanggar di kedudukan 14.1 batu nautika barat daya kuala Sungai Muar.

Maklumat mengenai isyarat kecemasan dari kedua-dua kapal itu diterima menerusi Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Pekan Baru, Indonesia, pada pukul 12.30 tengah malam.

Jabatan Laut turut memaklumkan hasil pemeriksaan di lokasi asal kemalangan mendapati tiada sebarang kesan minyak dilihat, namun menurut laporan awal yang diperoleh daripada Maritim, tumpahan minyak dikesan kira-kira lima batu nautika dari lokasi kapal MV Galapagos itu berlabuh.

Bagaimanapun tiada tumpahan minyak dilaporkan di lokasi MV Zephyr Lumos berlabuh, menurut kenyataan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Dua kapal berlanggar di perairan Muar