Dapat wang tunai RM139,000 jika tinggal di selatan Itali

Gambar fail menunjukkan sebuah kampung kecil di wilayah Calabria, selatan Itali. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan sebuah kampung kecil di wilayah Calabria, selatan Itali. - Foto AFP
A
A
A

ROM - Wilayah pentadbiran Calabria merancang menawarkan wang tunai sehingga 28,000 euro (RM139,357) kepada sesiapa sahaja yang berpindah untuk menetap di kampung-kampung di selatan Itali.

Sesiapa yang mahu tinggal itu perlu membuat permohonan terlebih dahulu manakala umur maksimum yang ditetapkan kepada para pemohon ialah 49 tahun.

Para pemohon dikehendaki menetap di wilayah itu maksimum tiga tahun dan mula berpindah selepas 90 hari permohonan mereka diluluskan.

Mereka juga perlu membuka perniagaan baharu sama ada sebuah restoran, sebuah ladang, sebuah hotel kecil dengan sarapan pagi ataupun sebuah kedai.

Lebih 75 peratus atau kira-kira 320 bandar di wilayah Calabria mempunyai penduduk kurang daripada 5,000 orang.

Menurut seorang ahli majlis tempatan, Gianluca Gallo kepada portal berita CNN, sasaran rancangan itu adalah untuk merangsang ekonomi dan memberi nafas baharu kehidupan dalam komuniti di wilayah tersebut.

Katanya, mereka yang berjaya dalam permohonan itu akan mendapat pendapatan bulanan untuk selama dua atau tiga tahun. - Agensi

Artikel Berkaitan: