Perpaduan kaum terserlah di PPV

Foto fail Sinar Harian
Foto fail Sinar Harian
A
A
A

JUMLAH pemberian vaksin Covid-19 terus mencatatkan peningkatan apabila lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang statik dan juga bergerak dibuka.

Sehingga hari ini, terdapat 521 PPV di seluruh negara. Bekalan besar vaksin juga telah tiba pada awal bulan ini. Jumlah dos vaksin yang disuntik dalam sehari telah meningkat daripada lebih 200 000 sehari pada 21 Jun 2021 kepada lebih 300 000 dos pada 5 Julai 2021.

Sehingga artikel ini ditulis, pada 6 Julai 2021, sebanyak 340 043 dos telah disuntik.

Ini terdiri daripada 206 757 dos pertama dan 133 286 dos kedua, sebagaimana dilaporkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV).

Sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsan (PICK) dilaksanakan pada 23 Februari lalu, sebanyak 9,660,519 dos vaksin telah diberikan kepada penerima yang layak.

Sehingga kini, sejumlah 17.2 juta penduduk Malaysia sudah mendaftar untuk vaksin.

Jumlah ini melebihi 50 peratus daripada jumlah populasi dewasa di Malaysia. Hanya Sabah yang mempunyai jumlah pendaftaran kurang daripada 50 peratus iaitu 32.9 peratus.

Sarawak pula walaupun merupakan negeri yang terluas di Malaysia, telah mencatat 82 peratus pendaftaran. Syabas diucapkan kepada penduduk Sarawak yang mempunyai kesedaran yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

Agak menyedihkan apabila negeri kelahiran dan tempat tinggal saya sekarang, Kelantan, berada pada kedudukan kedua terendah dengan pendaftaran hanya pada 53.3 peratus.

Berdasarkan pengalaman beberapa sahabat mendapatkan suntikan vaksin di PPV, kualiti perkhidmatan adalah kelas pertama.

Dari pintu masuk sehinggalah pintu keluar, proses amat teratur dan memuaskan hati.

Mereka cukup kagum dengan kerjasama para petugas dan sukarelawan di PPV.

Petugas dan sukarelawan terdiri daripada pelbagai kaum; tidak kira Melayu, Cina, India atau kaum apa sekalipun, semuanya ceria dan berkhidmat dengan ramah mesra, walaupun keletihan melayan beratus-ratus malah ribuan penerima vaksin.

Penerima vaksin yang datang juga cukup berhemah. Mereka patuh pada setiap arahan dan ini menjadikan proses pengambilan vaksin cukup teratur dan tersusun rapi.

Apa yang kita dapat belajar daripada pengalaman ini? Kita dapat melihat perpaduan sebenar rakyat kita di PPV ini.

Kita masih boleh hidup bersama, susah dan senang bersama-sama dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19 ini yang kelihatan akan kekal bersama kita sehinggalah negara kita mencapai imuniti berkelompok.

Ayuh semua penduduk Malaysia tidak kira kaum atau agama. Marilah kita sama-sama melawan virus Covid-19 ini serta patuh kepada prosedur operasi standard yang dianjurkan kerajaan.

Semoga rasa hormat, disiplin dan kerjasama yang kelihatan di PPV dapat dijadikan amalan hidup kita. Itulah perpaduan yang sebenar.

*Dr. Johari Yap ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia merangkap Naib Presiden Macma Malaysia