Garis panduan perancangan penginapan pekerja berpusat dibentang: KPKT

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui PLANMalaysia telah menggubal Draf Garis Panduan Perancangan Penginapan Pekerja Berpusat (Centralised Labour Quarters) bagi memastikan pembangunan dan operasi penginapan pekerja lebih teratur, lengkap dan mampan.

Menurut kenyataan KPKT pada Ahad, draf itu meliputi cadangan penginapan di kawasan baharu dan kawasan brownfield (premis terbiar dan terbengkalai) sebagai satu daripada kaedah penyelesaian jangka panjang bagi penginapan pekerja.

“Garis panduan ini akan dibentangkan di mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) yang dijadualkan pada 13 Julai (Selasa) untuk tujuan pertimbangan dan mendapat maklum balas daripada kerajaan negeri,” katanya.

Menurut KPKT, permohonan penginapan dan asrama pekerja di kawasan perumahan adalah tidak dibenarkan terhadap unit-unit kediaman bagi kategori kos rendah, Program Perumahan Rakyat (PPR) dan mampu milik bagi tujuan penginapan pekerja. Ia turut merangkumi kediaman berbentuk pangsapuri atau flat awam.

Bagi menyelesaikan isu dan permasalahan semasa berkaitan penginapan pekerja (khususnya pekerja asing), KPKT telah pun menyediakan Prosedur Permohonan Penginapan Pekerja Sementara Secara Jangka Pendek yang diluluskan oleh MNKT pada 2 Mac lepas, katanya.

Kenyataan itu memaklumkan pekeliling khas Ketua Setiausaha KPKT telah diedarkan kepada semua negeri pada 23 Mac untuk diterima pakai dan dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), khususnya di Semenanjung Malaysia bagi tempoh tiga tahun (2021 sehingga 2023).

“Kerajaan negeri Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 2 Jun telah bersetuju untuk menerima pakai sepenuhnya prosedur ini. Ini bermakna PBT perlu menguatkuasakan prosedur ini mulai dari tarikh prosedur ini diterima pakai, dan bukannya akan dikuatkuasakan kepada permohonan baharu pada tahun hadapan,” katanya.

Menurut KPKT, Prosedur Permohonan Penginapan Pekerja Sementara Secara Jangka Pendek tersebut menyenaraikan enam alternatif bagi tujuan permohonan penginapan pekerja secara jangka pendek di premis sedia ada iaitu:

Artikel Berkaitan:

Penginapan pekerja di kawasan perumahan, asrama pekerja di kawasan perumahan, penginapan pekerja di unit rumah kedai, penginapan pekerja atau asrama pekerja di kedai pejabat atau plot perniagaan, penginapan pekerja atau asrama pekerja di premis perindustrian dan asrama pekerja di dalam tapak bina.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail sebelum ini dilaporkan media meminta KPKT melaksanakan segera garis panduan untuk tidak membenarkan majikan menjadikan pangsapuri atau flat awam sebagai asrama pekerja asing. - Bernama