X

Kindly register in order to view this article
!

Perlu perancangan khusus pulih pelancongan Pangkor

Majoriti pekerja pelancongan di Pulau Pangkor adalah penduduk tempatan.
A
A

LUMUT - “Sementara menunggu hotel kembali beroperasi, ayah ikut kawan ke laut menangkap ikan buat makan harian dan selebihnya dijual," demikian luah Nur Qamarina Ahmad Kamal, 20, yang berkongsi keadaan selepas kebanyakan hotel dan resort di Pulau Pangkor ditutup sementara berikutan pandemik Covid-19.

Nur Qamarina dan bapanya antara pekerja hotel di Pulau Pangkor di sini yang hilang pendapatan apabila hotel tempat mereka bekerja terpaksa ditutup.

Menurutnya, majoriti pekerja pelancongan di pulau bebas cukai itu adalah penduduk tempatan dan kebanyakannya bergantung sepenuhnya kepada sektor terbabit.

"Gaji akhir yang saya dapat hanya untuk dua minggu lalu sebelum chalet terpaksa ditutup. Ayah juga bekerja sebagai tukang kebun di hotel lain dan kami masing-masing hilang mata pencarian," katanya ketika ditemui pada program penyerahan kotak makanan kepada pekerja sektor pelancongan Pulau Pangkor di sini pada Ahad.

Nur Qamarina yang tersenarai sebagai penerima bantuan bersama 400 pekerja lain berharap, industri pelancongan segera kembali beroperasi demi menjamin kelangsungan hidup mereka.

"Di pulau ini peluang pekerjaan agak terhad berbanding di tanah besar (bandar Seri Manjung), sebab itu besar harapan kami dapat diberi kebenaran kembali bekerja,” katanya.

Agihan kotak makanan dan sumbangan wang membabitkan 53 hotel dan resort itu adalah hasil inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bersama Tourism Perak bagi meringankan beban pekerja sektor pelancongan yang terkesan.

Pengerusi Persatuan Pembangunan Hotel dan Resort Pulau Pangkor, Mohd Zamzuri Suid berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berterusan mengakibatkan pengusaha menghentikan operasi.

Katanya, kesan daripada tindakan itu, ada pekerja hotel yang terpaksa bercuti tanpa gaji, manakala sebahagian besar lain bekerja mengikut gaji hari hingga dalam sebulan antara lima ke 10 hari sahaja.

"Jadi, kami amat bersyukur apabila ada bantuan kepada pekerja yang terjejas seperti ini, sekurang-kurangnya menjadi sokongan moral kepada mereka yang terlibat dalam industri pelancongan," katanya.

Dalam pada itu, Zambry berkata, pihaknya mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri agar menyediakan perancangan khusus bagi pembangunan semula sektor pelancongan di Pulau Pangkor kerana pelancongan merupakan sumber pendapatan utama kepada penduduk selain bidang perikanan.

"Selepas diisytiharkan sebagai pulau bebas cukai, nampak kerancakan pembangunan di sini, namun tidak sampai setahun apabila berlakunya Covid-19, semua perniagaan suram, kesan berganda sedang dihadapi mereka hasil daripada krisis pandemik ini.

"Kerana itu saya minta kepada Yang Berhormat Nolee (Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi) agar sektor pelancongan di sini diberikan tumpuan yang khusus agar pembangunan dapat dipulihkan kembali," katanya.

Pulau Pangkor yang merupakan destinasi pelancongan terkemuka di Perak dan di Malaysia menjadi pulau bebas cukai berkuat kuasa pada 1 Januari 2020.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!