Lawatan TPM ke Brunei perkukuh hubungan dua hala

Pesuruhjaya Malaysia ke Brunei Ismail Salam ketika mengadakan sidang media hari ini mengenai lawatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke Brunei esok. - Foto Bernama
A
A

BANDAR SERI BEGAWAN - Lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selama dua hari bermula esok ke Brunei menjadi landasan penting dalam memperkukuhkan hubungan dan kerjasama yang sedia dijalin antara kedua-dua negara.

Lawatan Wan Azizah ke Brunei merupakan siri lawatan pengenalan beliau ke negara Asean setelah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada Mei tahun lepas.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei yang baharu, Ismail Salam berkata, lawatan kali ini merupakan landasan bagi mengenal pasti kerjasama baharu khususnya dalam aspek perdagangan dan pelaburan yang boleh diterokai secara bersama.

Katanya, turut diberi tumpuan pada lawatan ini adalah pembangunan sosial, pemerkasaan wanita dan pengurusan bencana alam yang efektif.

Menurutnya Brunei merupakan rakan dagangan penting Malaysia di mana pada tahun lepas jumlah dagangan antara Malaysia dan Brunei sebanyak USD981.2 juta (RM3.9 bilion) dan Brunei merupakan negara ketujuh terbesar daripada rakan dagangan di rantau Asia Tenggara.

"Lawatan ini memberi peluang kepada pemimpin dua negara menerokai kerjasama baharu dan pada masa sama memperbaiki hubungan dua hala yang sedia terjalin sejak 35 tahun ke tahap seterusnya," katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di Pejabat Kedutaan Malaysia ke Brunei di sini, hari ini.

Menurutnya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, turut diberi tumpuan oleh Wan Azizah pada lawatan itu adalah perkongsian cara terbaik penjagaan anak kurang upaya .

Katanya lawatan ini juga membabitkan perbincangan berkaitan pengurusan bencana alam untuk meningkatkan kerjasama mekanisme dua hala dalam pelaksanaan operasi bencana dan menyelamat termasuk di kawasan sempada antara kedua-dua negara.

Dalam pada itu, Wan Azizah mempunyai jadual padat pada lawatan julung kali ke Brunei iaitu esok akan menghadap Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan disusuli menghadap isteri Sultan Brunei, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Beliau kemudian mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan Brunei yang juga menteri bertanggungjawab jabatan pembangunan masyarakat Mej Jen (B) Datuk Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan Abidin.

Ini diikuti sesi perjumpaan dengan rakyat Malaysia yang tinggal di Brunei yang diadakan di salah sebuah hotel di sini.

Pada Rabu, Wan Azizah akan menghadiri sesi perbincangan meja bulat dengan 40 pemain industri dan ahli perniagaan Brunei.

Beliau kemudian melawat Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan Brunei sebelum menghadap Putera Mahkota Brunei yang juga Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.

Lawatan Wan Azizah seterusnya adalah ke Pusat Bahagia Brunei yang merupakan sebuah pusat dan kelas jagaan anak kurang upaya sebelum beliau berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada petang. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia