Tujuh lokaliti di Sabah, satu di Kelantan dikenakan PKPD

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tujuh lokaliti di Sabah dan satu di Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Selasa ini sehingga 26 Julai, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, lokaliti di Sabah melibatkan Kampung Jempangah dan Kampung Rancangan Klias di Beaufort; Kampung Tebongon (Putatan); Borneo Timber (Tongod) serta Jalan Pasir, Likas, Kampung Kuala Menggatal dan Kuarters Tangki Air Biru, Telipok (Kota Kinabalu).

Sementara di Kelantan melibatkan Kampung Gong Jering, Mukim Bukit Jawa di Pasir Puteh.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD, pada Ahad.

Dalam pada itu, PKPD di Penjara Kepayan, Kota Kinabalu dan Kampung Nahaba, Kota Belud di Sabah yang masing-masing dijadualkan tamat pada 11 dan 12 Julai, dilanjutkan mengikut tempoh sama mulai 13 Julai.

Sementara itu, beberapa PKPD di Tringkap, Cameron Highlands di Pahang dan Kilang Sawit Bell termasuk perumahan kilang di Kinabatangan, Sabah ditamatkan hari ini mengikut jadual, manakala PKPD di Kampung Penimbawan, Tuaran dan Kampung Linau, Kota Belud, Sabah masing-masing ditamatkan esok mengikut jadual.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, beberapa lokaliti lain pula ditamatkan esok lebih awal daripada jadual termasuk Pangsapuri Westlite PKNS dan Apartment Mentari Court, PJS 8, Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor.

Selain itu di Sarawak, Kuarters Pekerja Ladang Mukah 1, Sarawak Plantation Agriculture Development Sdn Bhd (SPAD), Kuarters Pekerja Balingian Power Generation, Jalan Sibu dan Rumah Panjang Malang Anak Bada, Sungai Bayan.

Artikel Berkaitan:

Mengenai operasi pematuhan SOP pada Sabtu, beliau berkata, sebanyak 1,915 kilang, 18,278 premis perniagaan, 574 tapak pembinaan dan 192 asrama penempatan pekerja diperiksa.

Katanya, daripada jumlah itu, 63 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Selain itu, 547 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dengan 533 daripadanya dikompaun dan 14 lagi direman, manakala bagi Op Benteng, 51 pendatang asing tanpa izin ditangkap serta tiga kenderaan darat dirampas,” katanya. - Bernama