Bank Islam terima 108,936 permohonan bawah Pakej BPP

No Image Caption
A
A
A

BANK Islam Malaysia Bhd ketika ini sedang membantu 108,936 akaun dengan jumlah pembiayaan tertunggak sebanyak hampir RM12.63 bilion di bawah Pakej Bantuan Pembayaran Pemulih (BPP) sejak pelaksanaannya pada 7 Julai 2021.

Bank itu dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, jumlah tersebut melibatkan seramai 108,846 pelanggan individu dengan jumlah pembiayaan tertunggak sebanyak RM12.6 bilion dan 90 permohonan daripada pelanggan perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang melibatkan hampir RM29.43 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed berkata, bantuan pembayaran itu memberikan kelonggaran kepada komitmen kewangan pelanggan buat sementara waktu dan memberi ruang agar mereka dapat menyemak semula kedudukan kewangan masing-masing.

“Bank ini sentiasa proaktif untuk berurusan dengan pelanggan untuk mengenal pasti keperluan mereka serta menyediakan sokongan diperlukan bagi membantu mereka membuat keputusan bermaklumat yang bersesuaian dengan keadaan semasa,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Menurut Bank Islam, sebagai sokongan kepada pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang dilancarkan kerajaan, BPP menawarkan pilihan moratorium selama enam bulan atau pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus selama enam bulan kepada pelanggan yang layak.

Permohonan dibuka kepada pelanggan daripada segmen B40, M40 atau T20 serta perusahaan Mikro dan PKS yang terjejas akibat pandemik ketika ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: