Pengerusi koperasi bergelar Datuk ditahan babit rasuah lebih RM16 juta

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pengerusi lembaga pengarah sebuah koperasi hartanah bergelar Datuk di negeri ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah berjumlah lebih RM16 juta.

Menurut sumber, lelaki berkenaan menerima wang rasuah dan pelbagai barangan berharga daripada seorang pengarah syarikat pemaju bergelar Tan Sri sebagai dorongan pelaksanaan projek seluruh negeri ini.

Menurutnya, sogokan berkenaan diterima suspek melalui syarikat miliknya sebagai balasan melantik syarikat pemaju terbabit bagi melaksanakan projek usaha sama dan pembangunan di tanah milik koperasi.

“Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth pada esok (Isnin) atas kesalahan menerima wang rasuah dan barangan berharga dianggarkan berjumlah lebih RM16 juta.

“Dia akan berhadapan lebih 160 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA 2001) serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA 2001),” katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Menurut sumber terbabit, penahanan lelaki berkenaan berdasarkan siasatan dan operasi dilakukan SPRM sejak Ogos tahun lalu.

Katanya, suspek juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 15 Julai depan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Lim Bee Kean mengesahkan tangkapan berkenaan.

Artikel Berkaitan: