Bantuan kaunseling MAINS kepada individu hadapi tekanan hidup

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menerusi Bahagian Kaunseling Jabatan Zakat menerima 1,484 panggilan daripada orang awam di negeri ini yang memohon sokongan psikososial untuk tempoh awal Januari sehingga Jun lepas.

Ketua Kaunselor Bahagian Kaunseling Jabatan Zakat MAINS, Norazman Amat berkata, khidmat kaunseling diberikan secara percuma tanpa mengira agama dan bangsa bagi membantu mengurangkan kemurungan.

Menurut beliau, sesi kaunseling secara dalam talian itu diadakan bagi mendengar setiap permasalahan individu atau 'klien' yang mengalami gangguan emosi, di samping bersama-sama mencari penyelesaian terbaik.

"Bagaimanapun ia sedikit berbeza dengan psikospiritual kerana terdapat klien yang hilang keyakinan terhadap kepercayaan kepada tuhan dan agama terutama ketika pandemik ini.

“Tugas kami adalah memberi kefahaman kepada mereka mengenai takdir dan ketentuan tuhan," katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.

Norazaman berkata, ketika ini sesi kaunseling dilakukan secara dalam talian antaranya melalui panggilan telefon, aplikasi 'zoom', 'google meet' dan video WhatsApp.

Beliau berkata, pihaknya juga menerima panggilan klien positif Covid-19 yang memerlukan sokongan psikososial dan psikospiritual untuk memulihkan semangat mereka, agar tidak berputus asa dan bertindak tidak rasional.

Katanya, bagi umat Islam pihaknya membantu mendekatkan hubungan dengan Allah iaitu secara berdoa dan berzikir untuk mengembalikan keyakinan diri.

Artikel Berkaitan:

Norazman berkata, bagi individu yang mengalami masalah kewangan dan tiada sumber pendapatan, pihaknya akan merujuk masalah itu kepada Bahagian Zakat MAINS selain turut menyediakan bantuan kaunseling dengan kerjasama bahagian itu. - Bernama