100,000 pemandu pengangkutan awam disasarkan terima vaksin Covid-19

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

BATU PAHAT - Sekurang-kurangnya 100,000 pemandu pengangkutan awam termasuk perkhidmatan e-hailing di Lembah Klang disasarkan menerima vaksin Covid-19 penghujung Ogos depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kementerian akan memastikan ia tercapai sekali gus membantu mempercepat proses imunisasi kelompok selain membolehkan mereka dapat berkhidmat dalam sektor pengangkutan awam.

Menurut beliau, setakat ini pihak kementerian berpuas hati dengan peningkatan kadar vaksin bagi mereka terlibat dalam pengangkutan awam yang dibuat dalam kelompok besar sekarang ini.

“Pemberian vaksin kepada kelompok itu akan terus dirancakkan memandang mereka juga adalah golongan barisan hadapan yang bekerja dari awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga Ahad.

“Kita akan serahkan senarai nama mereka yang berkhidmat di sektor pengangkutan awam ini kepada urusetia Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan jika ada kekosongan mereka diberi keutamaan,” katanya dalam sidang akhbar pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika penyerahan bakul makanan kepada penduduk terjejas di sekitar Parlimen Ayer Hitam di sini pada Ahad.

Mengulas mengenai sumbangan bakul makanan di kawasannya, Ka Siong berkata, pihaknya telah menyalurkan sebanyak 5,000 bantuan kepada mereka yang memerlukan selain memastikan tidak berlaku keciciran.

Katanya, agihan sumbangan berkenaan dilaksanakan dengan bantuan daripada petugas khas yang terdiri daripada ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ketua kampung.

Artikel Berkaitan:

Penerima bakul makanan Mohd Urat Mohd Amin, 57, berkata, bantuan yang diterima bertepatan kerana rakyat kini terkesan dan kebanyakannya tiada pekerjaan setelah penularan pandemik Covid-19 ini. - Bernama