X

Kindly register in order to view this article
!

Polemik politik ketika pandemik rugikan rakyat, negara

Kiandee (dua dari kiri) bertemu penduduk bagi menyampaikan bantuan kepada nelayan di Kampung Pulau Keniogan, Beluran pada Ahad.
A
A

BELURAN - Polemik politik ketika pandemik hanya akan merugikan rakyat dan negara, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata, semua pihak ketika ini harus memikul tanggungjawab bersama tanpa memikirkan agenda politik masing-masing.

"Kerajaan mengambil pendekatan untuk terus fokus menguruskan Covid-19 secara inklusif melalui pendekatan 'whole of government' dan 'whole of society'.

"Ini dengan meletakkan kepentingan rakyat atas segalanya tanpa mengira siapa akan mendapat nama sekiranya kita berjaya kelak dalam peperangan menentang pandemik Covid-19 ini,” katanya kepada pemberita selepas hadir menyerahkan bantuan kepada nelayan di Kampung Pulau Keniogan pada Ahad.

Kiandee berkata, inisiatif kerajaan memperuntukkan RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen termasuk pembangkang di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bukti kerajaan sentiasa mengambil sikap mengetepikan perbezaan politik.

Sementara itu, Ahli Parlimen Beluran itu turut meninjau masalah infrastruktur penduduk dan rumah nelayan di Kampung Keniogan yang rosak akibat ribut pada 5 Julai lalu.

Pada lawatan itu, Kiandee menyerahkan bantuan peralatan membaiki rumah melalui peruntukan Parlimen serta bantuan bakul makanan di bawah Pemulih kepada 45 Ketua Isi Rumah (KIR).

"Pejabat Parlimen Beluran sebelum ini telah mengagihkan sebanyak 17,000 bantuan bakul makanan menerusi peruntukan tambahan di bawah Pemulih.

"Sebanyak 20,000 bakul makanan diagihkan di kawasan Parlimen Beluran untuk golongan memerlukan," katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) juga telah membaik pulih sebanyak 152 rumah nelayan di kawasan Beluran dalam tempoh singkat dengan mematuhi spesifikasi ditetapkan.

"Sebanyak 200 lagi rumah nelayan akan dibaik pulih di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan bernilai RM3 juta bermula Ogos ini.

"Bagi membangunkan infrastruktur jeti sedia ada, tiga lokasi telah dibaik pulih sebelum ini iaitu jeti Kampung Munad II, jeti Kampung Seri Menanti dan jeti Kampung Keramat dengan kos sebanyak RM150,000.

"18 lagi jeti dan titian di sekitar kampung-kampung nelayan di Beluran sedang dalam perancangan LKIM untuk dibaik pulih, dinaik taraf serta bina baharu yang akan memberi kemudahan pendaratan ikan lebih baik," katanya


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!