Mahasiswa Marhaen desak kerajaan penuhi lima tuntutan

Kenyataan Sekretariat Mahasiswa Marhaen pada Ahad.
Kenyataan Sekretariat Mahasiswa Marhaen pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Satu gerakan rakyat yang menggelarkan diri sebagai Mahasiswa Marhaen mendesak kerajaan memenuhi lima tuntutan berkaitan institusi pengajian tinggi (IPT) atas dakwaan gagal menangani pandemik Covid-19 secara efektif walaupun dengan pelaksanaan darurat dan Sekatan Pergerakan Penuh.

Sekretariat Mahasiswa Marhaen itu berkata, antara tuntutan tersebut adalah penerusan polisi pengurangan yuran universiti.

“Sebahagian besar universiti mengendalikan program akademik secara dalam talian sebagai respons kepada resam baharu pengajian tinggi menghadapi pandemik Covid-19.

“Oleh itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mesti meneruskan polisi mengurangkan yuran bagi sesi pengajian kali ini di semua universiti awam,” kata sekretariat itu dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah kenyataan tersebut, mahasiswa, pensyarah dan petugas IPT harus segera menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Hal ini bagi memastikan proses pembelajaran semester baharu sesi 2021/2022 dapat dilaksanakan di kampus untuk mengurangkan kesenjangan akses pendidikan,” jelas kenyataan tersebut.

Kenyataan itu mencadangkan pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membataskan pergerakan pekerja kilang atau terus menutup semua kilang bagi mencegah penyebaran Covid-19.

“Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah gagal mengatasi perkara ini dan sewajarnya beliau harus berundur,” ujar kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, kenyataan tersebut turut mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan secara terhormat kerana gagal mengetuai negara dalam isu pengurusan pandemik Covid-19.

Menurutnya, ahli politik perlu menghentikan sebarang bentuk drama pergelutan kuasa dan mengetepikan perbezaan bagi membentuk kerajaan kuat dan stabil untuk menyelamatkan dan memulihkan ekonomi negara.

“Kami menyatakan sepenuh sokongan kepada sebarang bentuk mobilasi rakyat seperti kempen #Lawan: 3 Hari 3 Tuntutan dan kempen #BenderaPutih sebagai tanda solidariti terhadap derita rakyat dan usaha memulihkan demokrasi Malaysia,” jelas kenyataan itu.