APM bersedia hadapi banjir di zon PKPD

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEBERANG PERAI - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Seberang Perai Tengah (SPT) bersedia menghadapi bencana banjir di dalam zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan kekuatan lima buah bot dan 70 anggota.

Sekretariat Pengurusan Bencana SPT dalam kenyataan berkata, pihaknya telah bersiap siaga bagi menghadapi bencana banjir yang dijangka berlaku berikutan musim peralihan monson ini.

Menurutnya, persediaan itu melibatkan kekuatan aset dan anggota termasuk prosedur operasi standard (SOP) memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan di dalam zon PKPD.

"Kita akan sentiasa dalam keadaan bersedia untuk sebarang kemungkinan yang bakal berlaku selaras dengan amaran cuaca waspada (peringkat kuning) di negeri-negeri pantai barat Semenanjung termasuk Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

"Persediaan melibatkan lima buah bot termasuk tiga bot jenis fiber, bot jenis aluminium dan bot jenis Rigid Inflatable Bot (RIB), pengangkutan darat termasuk sebuah lori High Rescue Vehicle (HRV), sebuah Light Rescue Vehicle 4X4 (Hilux) dan sebuah Medical Rescue Vehicle (ambulans).

"Ia akan digerakkan dengan kekuatan 70 anggota dari APM daerah SPT. Mereka ini telah bersiap siaga bagi satu jam pertama sekiranya berlaku bencana banjir di sekitar SPT," katanya pada Ahad.

Katanya, APM daerah SPT turut memberi tumpuan di kawasan-kawasan rendah dan berisiko berlakunya banjir sebagai langkah berjaga-jaga.

"Pada masa yang sama, kita juga bersedia dengan SOP Covid-19 dalam kerja menyelamat dan memindahkan mangsa banjir di kawasan yang diisytiharkan sebagai zon PKPD termasuk di pusat pemindahan sementara.

Artikel Berkaitan:

"Setiap anggota yang terlibat dalam operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir dalam zon PKPD perlu disanitasi sebelum dan selepas operasi serta diwajibkan menggunakan peralatan pelindungan peribadi (PPE) bagi mengelakkan berlakunya jangkitan Covid-19," katanya.

Jelasnya, setiap anggota yang terlibat dalam operasi bencana banjir diwajibkan mematuhi SOP yang ketat.

"Kita juga meminta orang ramai mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan bersama-sama mengamalkan norma baharu bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19," katanya.