X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

28 lori tangki air dihantar bantu penduduk sekitar Keratong

Bekalan air bersih dihantar menggunakan lori tangki untuk kegunaan penduduk di sekitar Keratong, Rompin yang terjejas ekoran gangguan bekalan air di kawasan itu sejak Rabu.
A
A

KUANTAN- Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) menggerakkan 28 lori tangki dan menyediakan 300 tangki statik bagi membekal bekalan air bersih kepada penduduk sekitar Keratong, Rompin yang mengalami gangguan bekalan air sejak Rabu.

Gangguan bekalan air itu disebabkan loji rawatan air (LRA) Keratong tidak dapat beroperasi ekoran pencemaran sumber air mentah di Sungai Pukin, Rompin.

Ketua Pegawai Eksekutif Paip, Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, kejadian pencemaran sumber air mentah di Sungai Pukin dipercayai berpunca dari kolam takungan di sebuah kilang memproses sawit di Ulu Keratong yang pecah berikutan hujan lebat.

"Ia telah menyebabkan sisa dari kolam takungan mengalir ke alur sungai.

"Keadaan ini telah menjejaskan 11,500 akaun pengguna di sekitar kawasan tersebut," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Saiful Zaini berkata, Paip telah mengambil tindakan segera dengan menyediakan bantuan penghantaran air bersih kepada pengguna secara berperingkat melalui lori tangki dan tangki statik di kawasan terjejas di sepanjang tempoh gangguan.

Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemah dan menjaga kelestarian sumber air.

"Jangan mencemarkan saliran dengan bahan buangan seperti sisa pepejal, kumbahan dan sebagainya dengan memastikan semua air sisa itu dirawat terlebih dahulu sebelum dilepaskan ke sungai," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!