Buka kilang hanya selepas semua pekerja divaksin: Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO menuntut agar kilang-kilang hanya dibenarkan beroperasi selepas semua pekerjanya sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya menggesa kerajaan mengarahkan supaya semua kilang di Selangor ditutup kecuali yang berkaitan dengan makanan dan perubatan.

“Laksanakan hanya di Lembah Klang iaitu Selangor dan wilayah yang mencatat kes begitu tinggi,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Ahad.

Pada Ahad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri menegaskan, kilang dan premis perniagaan yang melanggar peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan akan berhadapan tindakan tegas termasuk diarah tutup serta-merta sebagai usaha menangani pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, kerajaan digesa memecat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang didakwa menjadi punca utama kegagalan sekatan pergerakan penuh atau 'total lockdown'.

“Sebagaimana cadangan saya kepada Ismail Sabri ketika menyerahkan cadangan menerusi #TuntutanRakyat, laksanakan 'total lockdown' penuh, bukan separa masak seperti sekarang.

“Jangan dilayan lagi rayuan Menteri MITI yang lebih kepada nak jaga tauke-tauke kilang berbanding rakyat marhaen,” tegas beliau.

Sementara itu, beliau berkata, sayap pemuda UMNO turut menuntut bantuan khas Covid-19 iaitu bantuan bakul makanan ditambah dan disegerakan terutama di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Artikel Berkaitan: