Masjid di Seremban wujudkan Gerobok Makanan

Senarai masjid yang menyediakan Gerobok Makanan di daerah Seremban, Negeri Sembilan.
Senarai masjid yang menyediakan Gerobok Makanan di daerah Seremban, Negeri Sembilan.
A
A
A

SEREMBAN - Bagi membantu masyarakat sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah Seremban, institusi masjid di daerah ini mengambil inisiatif mewujudkan Gerobok Makanan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sebanyak 16 masjid telah melaksanakan inisiatif ini bagi membantu mereka yang memerlukan.

Katanya, konsep 'ambil apa sahaja yang perlu' di gerobok ini, terbuka kepada semua tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

"Tahniah saya ucapkan kepada masjid yang melaksanakan inisiatif ini dalam usaha membantu anggota masyarakat yang terkesan akibat pelaksanaan PKPD.

"Setakat ini sebanyak 16 Gerobok Makanan telah diwujudkan di masjid seluruh daerah yang dipenuhi pelbagai keperluan asas seperti beras, mi segera, tepung dan lain-lain.

"Sekiranya anda atau jiran tetangga memerlukan bekalan makanan, sila kunjungi mana-mana gerobok makanan bagi mendapatkan bekalan. Insya-ALLAH, pihak masjid sentiasa bersedia membantu," katanya dalam satu kenyataan di media sosial pada Ahad.

Dalam pada itu, Aminuddin turut memberitahu jumlah vaksinasi harian di negeri ini masih mengekalkan lebih 20,000 suntikan.

Katanya, pada Sabtu, sebanyak 21,057 dos vaksin diberikan di seluruh negeri ini, dan seramai 128,487 orang sudah divaksin.

Artikel Berkaitan:

"Syukur alhamdulillah, semakin hari semakin ramai berjaya mendapatkan vaksinasi.

"Memandangkan kapasiti pemberian vaksin semakin meningkat dan lebih ramai berjaya mendapatkan tarikh, saya berharap agar penerima dapat mematuhi tarikh dan masa janji temu yang ditetapkan, demi kesejahteraan kita bersama," katanya.