Mapim sokong tubuh Majlis Tahfiz Negara

Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi Abdul Hamid
A
A
A
KUALA LUMPUR - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyatakan sokongannya terhadap cadangan Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Agama) Fuziah Salleh di Dewan Rakyat untuk menubuhkan Majlis Tahfiz Negara tahun depan.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, cadangan yang membabitkan kuasa Majlis Agama Islam Negeri untuk mewujudkan peraturan pendaftaran maahad tahfiz swasta adalah wajar dan sangat tepat pada masanya.

“Ta'rif sekolah tahfiz sebagai sekolah agama perlu jelas dan memudahkan bantuan disalurkan.

“Berkembangnya sekolah tahfiz swasta yang begitu banyak menyebabkan pengawalan dan pemantauan diperlukan agar semua aspek pengurusan, pensijilan, prasarana, kelayakan guru dan kurikulum dapat diselia dengan rapi dan terselaras,” katanya dalam satu kenyataaan, hari ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN : Kerajaan cadang wujud tahfiz negara tahun depan ]

Menurutnya, peranan dan sumbangan institusi tahfiz tidak dinafikan namun pada masa sama.kualiti dan pengurusan yang berintegriti juga sangat diperlukan.

“Minat ibu bapa dan masyarakat untuk mendaftar anak ke insititusi tahfiz sangat positif. Namun ibubapa juga berhak memastikan insitusi tahfiz mendapat pengiktirafan oleh pihak berkuasa agama.

“Aspek terpenting ialah kurikulum, prasarana yang selamat serta pengurusan yang memenuhi tahap piawaan yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap agar Majlis Tahfiz Negara itu dapat melihat fungsi dan matlamat menyeluruh pembinaan kualiti pelajar tahfiz di negara ini.
Artikel Berkaitan:


“Kami prihatin terhadap tahap pencapaian pelajar tahfiz dan adalah wajar difikirkan juga pelajar yang tidak mampu meneruskan pembelajaran tahfiz. Mereka yang tercicir perlu diuruskan agar tidak terpinggir dari arus perdana.

“Sementera tumpuan institusi tahfiz adalah untuk melahirkan pelajar yang menghafal seluruh Al Quran, pembinaan keupayaan dan kemahiran yang sesuai dengan minat mereka juga perlu diajar. Adalah tidak wajar pelajar tahfiz menjadi penganggur dan bergantung harap kepada sumbangan orang ramai,” jelasnya.

Menurutnya, pelbagai insiden yang membabitkan maahad tahfiz walaupun terpencil namun perlu diambil iktibar kerana institusi itu membawa imej yang sangat mulia pada kaca mata masyarakat.

“Kemuliaan dan penghormatan orang ramai terhadap pelajar tahfiz hendaklah juga dikaitkan bagaimana tahap keilmuan dan kemahiran mereka dapat menyumbang kepada masyarakat,” katanya.