Cadang ujian saringan Covid-19 ganti surat kebenaran MITI: Noh

Noh (depan, empat dari kanan) pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan di Kampung Bestari Jaya, Kuala Selangor pada Ahad.
Noh (depan, empat dari kanan) pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan di Kampung Bestari Jaya, Kuala Selangor pada Ahad.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan dicadangkan supaya mewajibkan semua individu menjalani ujian saringan Covid-19 sekiranya mahu keluar rumah atau bekerja sepanjang tempoh perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan prosedur operasi standard (SOP) baharu tersebut berikutan surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tidak boleh mengesahkan sama ada seseorang individu itu bebas daripada dijangkiti Covid-19 atau sebaliknya.

Beliau berkata, keputusan ujian saringan itu boleh diibaratkan seperti pasport kepada mana-mana individu untuk keluar rumah atau kepada sektor kilang untuk meneruskan operasi.

"Sesiapa yang hendak bekerja, berniaga atau keluar rumah, mesti menjalani ujian saringan terlebih dahulu. Tidak lagi mengguna pakai surat daripada MITI," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan di Kampung Bestari Jaya di sini pada Ahad.

Noh berkata, setiap individu boleh menjalani ujian saringan sama ada ujian Real-Time Revers Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) atau Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) bagi mengawal penularan wabak Covid-19 di negara ini.

"Sepatutnya dasar baharu ini (ujian saringan) perlu diperkenalkan selain SOP sedia ada. Misalnya, pekerja di kilang mesti kena menunjukkan mereka sudah menjalani ujian saringan terlebih dahulu sebelum masuk bekerja.

"Surat kebenaran MITI tidak dapat mengetahui sama ada individu tersebut pembawa virus Covid-19 atau pun tidak. Tetapi kalau individu itu membawa laporan ujian saringan, sudah tentu kita dapat mengesan virus berkenaan.

"Begitu juga kalau peniaga hendak berniaga di tepi jalan, mereka perlu mengemukakan keputusan ujian saringan sebagai kebenaran untuk berniaga," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Noh sehubungan itu mencadangkan agar kerajaan menetapkan harga siling atau memberikan subsidi bagi membolehkan orang ramai menjalani ujian saringan dengan harga berpatutan.