Media perlu pergiat usaha kenal pasti, bongkar berita palsu

Saifuddin Abdullah -Foto Bernama
Saifuddin Abdullah -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah menggesa pihak media pelbagai medium termasuk stesen televisyen, radio, akhbar dan platform dalam talian untuk terus mempergiatkan usaha mengenal pasti serta membongkar berita palsu.

Beliau juga berharap pihak media mempergiatkan usaha meningkatkan kesedaran mengenai ancaman berita palsu dan langkah bagi mencegah perkara tersebut.

Menurutnya, terdapat peningkatan ketara penyebaran maklumat atau berita palsu kebelakangan ini sama ada mengenai pandemik Covid-19, vaksinasi, kesihatan, sosial mahupun politik dan keadaan tersebut boleh menimbulkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan orang ramai serta menjejaskan usaha membanteras penularan Covid-19 dengan berkesan.

“Dalam konteks penyebaran maklumat, pihak media bukan sahaja berperanan melaporkan berita sahih dan tepat, tetapi melindungi rakyat daripada berita palsu yang berpotensi menggugat usaha kerajaan dalam memerangi Covid-19 serta memelihara kesejahteraan dan kestabilan negara," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Saifuddin berkata, pihak media telah memberikan kerjasama kepada kerajaan dalam memerangi berita palsu sejak bermula krisis tersebut.

Beliau berkata, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta beberapa agensi bertindak proaktif dalam mengekang peningkatan berita palsu terutamanya dalam konteks pandemik Covid-19.

Antaranya pemantauan oleh Pasukan Respon Pantas sejak Mac tahun lepas yang telah menangkis sebanyak 464 berita palsu, katanya.

Menurut Saifuddin, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 turut dikuatkuasakan mulai Mac 2021 bagi mencegah dan mengambil tindakan terhadap penyebaran berita palsu tentang Covid-19 dan kesihatan.

Artikel Berkaitan:

"Saya yakin terhadap kematangan pemikiran masyarakat dalam membuat penilaian berita palsu. Marilah bersama-sama mencegah berita palsu," katanya. - Bernama