Gerakan angkat Ismail Sabri jadi PM 'positif', tapi...: Menteri Bersatu

Dakwaan wujud gerakan UMNO menggunakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai bidak catur bagi menggulingkan Muhyiddin daripada jawatan Perdana Menteri hanyalah sekadar spekulasi.
Dakwaan wujud gerakan UMNO menggunakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai bidak catur bagi menggulingkan Muhyiddin daripada jawatan Perdana Menteri hanyalah sekadar spekulasi.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang menteri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengakui gerakan UMNO untuk mengangkat Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri interim, mungkin satu langkah positif daripada parti itu.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berpandangan semua ahli Parlimen UMNO, termasuk Ismail Sabri yang baharu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, akan terus menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada saat negara bergelut mendepani krisis pandemik Covid-19 ketika ini.

Jelas beliau, perkara paling penting difikirkan semua pihak ketika ini adalah usaha memperkasakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan memastikan inisiatif memerangi Covid-19 berjaya.

"Lebih menarik, saya difahamkan dalam satu perjumpaan tidak rasmi ahli-ahli Parlimen UMNO bersama kerajaan PN baru-baru ini, maklum balas diberikan mereka adalah positif dengan kumpulan itu mahu bekerjasama atas dasar penyatuan bagi memperkasakan kepimpinan negara.

"Gerakan mengangkat Naib Presiden UMNO (Ismail Sabri) sebagai Perdana Menteri baharu mungkin langkah positif, tetapi adakah sesuai beliau mengambil alih tampuk pentadbiran kerajaan pada waktu sekarang?

"Memandangkan UMNO menyedari tiada pemimpin lebih layak memegang teraju kerajaan PN selain Tan Sri Muhyiddin buat masa ini, saya yakin sebarang teori gerakan politik menggunakan Ismail Sabri hanya sekadar spekulasi," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Sabri dilantik Timbalan Perdana Menteri, Hishammuddin Menteri Kanan

Kerajaan PN belum runtuh, sokongan 32 MP BN tidak berganjak

Artikel Berkaitan:

Pas istiqamah sokong Muhyiddin

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan beberapa pemimpin UMNO termasuk Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin yang berpandangan Ismail Sabri merupakan calon terbaik diangkat sebagai Perdana Menteri interim sekiranya Muhyiddin meletakkan jawatan dalam masa terdekat.

Cadangan Mohamad Khaled itu mengundang spekulasi pelantikan Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri baharu pada Selasa, sebagai satu strategi politik UMNO untuk mengambil alih pentadbiran negara secara senyap-senyap.

Hal ini susulan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan mesyuarat MKT parti memutuskan untuk memuktamadkan keputusan keluar daripada kerajaan PN berkuat kuasa serta-merta serta menolak sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Rabu malam.

Mohd Redzuan
Mohd Redzuan

Ahmad Zahid turut menggesa Muhyiddin meletakkan jawatan Perdana Menteri serta-merta bagi membolehkan seorang Perdana Menteri interim dilantik bagi menguruskan sementara krisis Covid-19 sehingga negara mencapai tahap imuniti berkelompok.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu melihat sebarang gerakan politik yang bakal dicetuskan UMNO bagi menumbangkan kerajaan PN pada masa hadapan, berkemungkinan hanya digerakkan segelintir pemimpin 'warlord' parti itu yang kurang jati diri.

Jelas beliau, meskipun jumlah ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) lebih banyak daripada Bersatu, senario itu bukan jaminan mereka mampu memimpin negara lebih baik berbanding Muhyiddin sendiri.

Sementara itu, seorang lagi ahli MPT Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman mencabar ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan untuk membuat laporan polis sebagai bukti penafian kenyataan beliau sewaktu mesyuarat MKT diadakan Selasa malam.

Jelas beliau, cabaran itu dibuat susulan bekas Ahli Parlimen Kota Belud itu menafikan rakaman suaranya yang tular mengajak ahli-ahli MKT mengambil kesempatan menjatuhkan Perdana Menteri sebelum negara sempat pulih daripada krisis Covid-19.

"Saya cabar Abdul Rahman lapor polis untuk nafikan rakaman suaranya yang tular ketika mesyuarat MKT UMNO lalu (Selasa malam).

"Dalam mesyuarat MKT UMNO, Abdul Rahman didakwa mahu partinya mengambil kesempatan menjatuhkan PM (Perdana Menteri) sebelum negara sempat pulih dari Covid-19," katanya.