Di Maria lega bantu kemenangan Argentina, realisasikan hasrat Messi

Pasukan Argentina meraikan kejayaan muncul juara Copa America 2021.
Pasukan Argentina meraikan kejayaan muncul juara Copa America 2021.
A
A
A

PENYERANG Argentina, Angel Di Maria lega setelah membantu pasukannya muncul juara Copa America 2021 dengan menewaskan Brazil 1-0 di Stadium Maracana, pada Ahad.

Di Maria turut mendedahkan bahawa kapten, Lionel Messi ada menemuinya dan mengatakan bahawa aksi final berkenaan pada Ahad menjadi penampilan terakhirnya bersama skuad La Albicaleste itu.

Bagaimanapun menurut penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu, setelah berjaya menewaskan Brazil 1-0 pada aksi final berkenaan, Messi turut datang menemuinya dan mengucapkan terima kasih.

“Sebelum perlawanan, dia (Messi) ada berjumpa saya dan mengatakan bahawa perlawanan kali ini adalah yang terakhir buatnya bersama pasukan Argentina dan ia (final) adalah peluang terakhir buatnya untuk mempamerkan aksi cemerlang.

“Akhirnya saya lega kerana dapat membantu kemenangan pasukan yang juga secara tidak langsung membantu Messi merangkul trofi antarabangsa pertamanya bersama Argentina,” katanya.

Pada aksi final berkenaan, jaringan tunggal Di Maria pada minit ke-22, mengesahkan Argentina juara Copa America 2021 apabila menewaskan tuan rumah yang juga pasukan pilihan, Brazil 1-0 di Stadium Maracana, pada Ahad.

Di Maria berjaya memanfaatkan hantaran cantik rakan sepasukan Rodrigo De Paul sebelum melepasi kawalan pemain pertahanan dan seterusnya menewaskan penjaga gol, Ederson Moraes menerusi sepakan lambung untuk gol tunggal perlawanan.

Untuk rekod, kemenangan kali ini adalah yang ke-15 buat skuad La Albiceleste itu sejak muncul juara buat kali pertama pada edisi 1921 lalu dan sekali gus 'menghadiahkan' trofi sulung di peringkat antarabangsa buat kapten, Lionel Messi selama penglibatannya dalam sukan bola sepak sejak 16 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu pemain tengah Argentina, De Paul menyifatkan aksi final berkenaan sebagai ibarat perlawanan impian buat kedua-dua pasukan.

“Bagi saya, aksi final ini adalah apa yang kami impikan selama ini, tambahan pula kami berjaya muncul selaku juara.

“Tambah hebat, ia dilaksanakan di Stadium Maracana yang menyaksikan kami menewaskan Brazil 1-0,” katanya.