Kelantan tidak benarkan ibadah korban secara persendirian

Tengku Mohamad Rizam
Tengku Mohamad Rizam
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan tidak membenarkan ibadah korban sempena Aidiladha dilakukan orang persendirian atau keluarga di negeri ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang masih berkuatkuasa.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) hanya membenarkan ibadah tersebut dijalankan di rumah sembelih ruminan jabatan iaitu Kompleks Abatoir DVS di Kota Bharu, Machang dan Pasir Mas; serta di masjid bandar, jajahan atau mukim dengan kelulusan MAIK.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, bilangan maksimum untuk sembelihan haiwan korban dalam satu hari juga dihadkan kepada lima ekor sahaja.

Beliau berkata, MAIK menerima maklumat berkaitan masjid-masjid yang tidak memenuhi kriteria prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan ibadah korban dalam tempoh PKP 3.0 di negeri ini pada tahun ini.

“Tidak menepati kriteria seperti tidak mempunyai kawasan berpagar serta keluasan kawasan kurang daripada 10 meter persegi, selain permohonan sembelihan korban melebihi 20 ekor dalam tempoh empat hari.

“Aktiviti korban oleh persendirian atau keluarga pula tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, MAIK bersetuju memberi kebenaran kepada pihak masjid bandar, jajahan dan mukim untuk menambah tempat sembelihan ibadat korban di lokasi sesuai dengan mematuhi perkara-perkara berikut.

“Kawasan yang dicadangkan dikawal selia oleh pihak masjid bandar, jajahan dan mukim berdasarkan SOP pelaksanaan ibadah korban PKP 3.0 Kelantan bagi tahun 1442H/2021M.

Artikel Berkaitan:

“Ibadah korban dijalankan dalam kawasan yang berpagar dan mempunyai keluasan yang mencukupi sekurang-kurangnya 10 meter persegi,” ujarnya.

Tambah beliau, tapak penyembelihan perlu sesuai, bersih dan selamat serta tidak berhampiran tempat awam.

“Jumlah maksimum sembelihan korban hendaklah tidak melebihi lima ekor sehari atau 20 ekor lembu dalam tempoh empat hari bermula 20 sehingga 23 Julai 2021.

“Selain itu, perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.