Video rompakan di New Delhi bukan Sungai Siput

Tangkap layar video tular yang menunjukkan rompakan bersenjata dilakukan empat lelaki.
Tangkap layar video tular yang menunjukkan rompakan bersenjata dilakukan empat lelaki.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Tiada kejadian rompakan bersenjata membabitkan empat individu berlaku di Sungai Siput sepertimana didakwa dalam satu video tular di media sosial sejak Sabtu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, kejadian yang direkodkan dalam video berdurasi dua minit 22 saat itu sebenarnya berlaku di New Delhi, India.

"Tiada kejadian rompakan bersenjata berlaku di sini seperti mana video yang tular, malah kita juga tidak menerima sebarang laporan polis berkaitan kes itu.

"Berdasarkan pemeriksaan, kejadian rompakan itu berlaku di India," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Kejadian rompakan dipercayai berlaku di India.
Kejadian rompakan dipercayai berlaku di India.

Menurut beliau, video berkenaan dikesan dimuat naik seorang individu di laman sosial Facebook, namun telah dipadam.

"Kita telah mengenal pasti pemilik Facebook berkenaan dan dia akan dipanggil untuk dirakam keterangan.

"Kes akan disiasat mengikut seksyen 505b Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998," katanya.

Artikel Berkaitan:

Video rompakan bersenjata yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) itu tular setelah dimuat naik pemilik akaun Facebook dengan nama Putra Yob yang memaklumkan kejadian terbabit berlaku di Sungai Siput.

Berdasarkan rakaman berkenaan, empat lelaki bersenjata masuk ke sebuah rumah yang di dalamnya terdapat tiga individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan.