Tok batin: Daripada pemimpin komuniti kepada ikon vaksin

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (kanan) melihat penduduk masyarakat orang asli, Sahura Hussin (dua dari kiri) mendaftar diri pada Program Pemberian Vaksin Bas Bergerak MARA Liner Untuk Tok Batin Dan Masyarakat Orang Asli yang pertama di Orang Asli One Stop Centre Bawong di Sungai Siput hari ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (kanan) melihat penduduk masyarakat orang asli, Sahura Hussin (dua dari kiri) mendaftar diri pada Program Pemberian Vaksin Bas Bergerak MARA Liner Untuk Tok Batin Dan Masyarakat Orang Asli yang pertama di Orang Asli One Stop Centre Bawong di Sungai Siput hari ini.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Dahulunya, peranan tok batin adalah sebagai pemimpin komuniti yang bertanggungjawab terhadap isu-isu kebudayaan, adat resam, pembangunan, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sebagainya demi manfaat komuniti orang asli.

Namun, peredaran zaman dan teknologi telah meletakkan pelbagai tanggungjawab yang perlu digalas dan kini diperluas sebagai ikon menentang salah faham tentang vaksin Covid-19, yang menakutkan masyarakat orang asli untuk mendaftar sebagai penerima vaksin.

Bagi mencapai tujuan tersebut, seramai 40 orang Tok Batin di Perak telah dipilih baru-baru ini dan menjadi individu terawal menerima vaksin mewakili kawasan masing-masing bagi menyampaikan mesej kebaikan dan fungsi vaksin yang sebenar.

Pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak di Orang Asli One Stop Center (OAOSC) Sungai Siput, kira-kira 50 kilometer (km) dari Ipoh, menjadi lokasi ‘kenaikan pangkat’ kepada Tok Batin tersebut yang turut hadir memakai pakaian kebudayaan mewakili komuniti masing-masing.

Tok Batin Kampung Pisang, Jalong di sini yang lebih dikenali sebagai Tok Nasiri berkata, cabaran pertama yang perlu dilakukan adalah untuk menghapuskan stigma negatif vaksin yang diterima sesetengah masyarakat orang asli melalui media sosial agar lebih ramai penduduk mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin.

"Masih ada anak-anak buah saya yang terpengaruh dengan berita palsu melalui media sosial seperti kalau ambil vaksin tidak akan hidup lama, ada sakit dan sebagainya. Jadi, mereka ini takut mengambil vaksin.

"Sebagai tok batin, balik ini saya akan memberi nasihat dan yakinkan mereka bahawa vaksin dapat membantu diri, keluarga dan masyarakat dijauhkan daripada Covid-19," katanya ketika ditemui Bernama.

Tok Batin Kampung Manggis Pesium, Alang Pandak, 66, pula berkata, beliau juga akan cuba memujuk sebahagian kecil penduduk orang asli di kawasannya dengan menceritakan kebaikan vaksin sekali gus menjadi contoh kepada penduduk setempat.

Artikel Berkaitan:

"Saya akan ceritakan pengalaman saya selepas divaksin kepada penduduk dan menafikan berita mengarut seperti yang disebarkan melalui media sosial untuk menakutkan kami. Sebenarnya, masyarakat orang asli di sini dengan kebanyakannya Suku Temiar, menerima sahaja untuk disuntik vaksin cuma menunggu program seperti ini datang ke kawasan kami.

"Mereka sedang menunggu panggilan untuk divaksin kerana mereka juga ingin mengurangkan peningkatan Covid-19. Di kawasan saya ada dewan, jadi lebih baik sekiranya kerajaan negeri menyediakan PPV bergerak di sana kerana terdapat orang kurang upaya (OKU) dan yang tidak boleh bergerak," katanya.

Dalam pada itu, Tok Batin Pos Poi, Eley Busu, 53, berkata, pihaknya berharap kerajaan negeri menyediakan PPV bergerak yang lebih dekat dengan kawasannya memandangkan jarak ke lokasi PPV bergerak OAOSC dari tempatnya kira-kira 30 km dan kawasan tersebut masih berlaluan tanah merah.

"Mungkin selepas ini kerajaan negeri boleh masuk ke dalam Pos-Pos Orang Asli yang jauh dari sini contoh macam Pos Kuala Mu kira-kira 40 km daripada PPV ini dan tempat saya pula 30 km.

"Walaupun ada masyarakat yang tidak mahu terima vaksin namun kami sebagai tok batin sentiasa terima (situasi itu). Kami akan menjadi contoh dan ikutan kepada masyarakat orang asli di kawasan masing-masing," katanya.

Sementara itu, seorang warga emas, Long Senah, 88, berkata, beliau gembira menerima suntikan vaksin kerana ingin turut serta menyokong kerajaan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Seramai 100 orang masyarakat orang asli di Perak yang terdiri daripada 40 orang tok batin dan 60 warga emas menjadi antara penerima terawal vaksin dos pertama melalui program PPV Bas Bergerak MARA Liner Sdn Bhd yang beroperasi memberi vaksin selama 10 jam sehari tanpa mengambil kira pendaftaran melalui MySejahtera.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperkenalkan bas bergerak MARA Liner yang dijadikan sebagai PPV bergerak untuk membawa vaksin ke perkampungan orang asli dan masyarakat di pedalaman. - Bernama