X

Kindly register in order to view this article
!

Selangor disaran semak caj suntikan vaksin kepada pihak industri

Haniza
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor disaran menyemak semula caj suntikan vaksin yang dikenakan kepada pihak industri menerusi Program Vaksin Selangor (SelVAX) yang dilancarkan baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha berkata, menerusi SelVAX, kerajaan negeri mengenakan bayaran sebanyak RM350 ke atas majikan bagi keperluan dua dos vaksin untuk diberikan kepada pekerja industri masing-masing.

Haniza berkata, kadar itu adalah amat tinggi berbanding Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) dilancarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebelum ini yang hanya mengenakan caj sebanyak RM45 bagi setiap pekerja.

"Usaha mancapai imuniti kelompok akan terbantut sekiranya kerajaan negeri mengenakan caj suntikan yang lapan kali ganda berbanding PIKAS," katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar pada Rabu juga pernah membangkitkan perkara sama apabila mendakwa kerajaan negeri cuba mengaut keuntungan dengan menjual vaksin yang diperoleh daripada pembekal kepada pihak industri.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyangkal dakwaan berkenaan dan menegaskan isu keuntungan tidak timbul berikutan pihak industri memahami mereka bakal berdepan kerugian lebih besar apabila tidak dibenarkan beroperasi sekiranya pekerja masing-masing tidak segera divaksin.

ARTIKEL BERKAITAN: Selangor sangkal dakwaan kaut keuntungan jual vaksin

Dalam pada itu, Haniza berkata, ketika situasi mencabar ketika ini, semua pihak tidak wajar mengambil kesempatan bagi meraih keuntungan menerusi program SelVAX itu.

"Saya mengajak semua pihak bekerjasama melawan pandemik ini demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan setiap pihak," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!