‘Laut China Selatan sebagai lautan persahabatan’

Ouyang Yujing
Ouyang Yujing
A
A
A

[MUKADIMAH] Menelusuri lipatan sejarah yang terjalin antara China dan Malaysia, tidak semuanya indah namun hubungan kedua-dua negara terus berkembang positif dan erat masih sehingga ke hari ini. Buktinya baru-baru ini China dan Malaysia meraikan ulang tahun ke-47 jalinan hubungan diplomatik.

Walaupun dihimpit pelbagai kontroversi antaranya isu tuntutan di Laut China Selatan yang tidak berkesudahan dan pencerobohan ruang udara Malaysia oleh pesawat milik China yang mencetuskan ketegangan, kedua-dua negara tetap mampu bekerjasama di saat sukar.

Pandemik Covid-19 yang menyerang seluruh dunia telah menyaksikan keakraban hubungan antara Malaysia dan China apabila Malaysia menjadi antara penerima awal bantuan vaksin yang dibekalkan China.

Ikuti temuramah Sinar Harian bersama Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing yang berkongsi pandangan tentang pandemik Covid-19, hubungan dua hala Malaysia-China, isu Laut China Selatan dan keistimewaan Malaysia daripada kacamata beliau sendiri.

Ouyang Yujing
Ouyang Yujing

SINAR HARIAN: Seluruh dunia masih berperang dengan pandemik Covid-19. Boleh anda kongsikan bagaimana keadaan terkini di China?

Ouyang Yujing: Ekonomi China bermula baik pada tahun ini apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatat rekod sebanyak 18.3 peratus pada suku pertama. Industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik misalnya menyaksikan sejumlah 230 juta perjalanan domestik ketika cuti lima hari Hari Pekerja sekali gus merekodkan pendapatan pelancongan bernilai 113.23 bilion yuan (RM72.78 bilion) melebihi jumlah sebelum pandemik, berdasarkan perbandingan.

Namun China turut tidak terkecuali daripada tempias pandemik global ini. Kes import Covid-19 telah menyebabkan penyebaran jangkitan di beberapa wilayah di China. Mujur dengan tindakan pantas dan efektif, penyebaran virus tersebut dapat dikawal dengan cepat. Sebagai contoh, wilayah Guangdong dengan segera melancarkan ujian asid nukleik berskala besar selepas wabak dikesan.

Artikel Berkaitan:

Lebih 53 juta ujian dijalankan dalam tempoh lebih 10 hari manakala bandar Guangzhou (ibu negeri wilayah Guangdong) menjalankan lebih 18 juta ujian dalam masa hanya tiga hari.

Pengesanan kes dijangkiti tepat pada waktunya di samping rawatan dan kuarantin membantu mengekang penyebaran virus. Situasi pandemik Covid-19 di Guangdong kini terkawal.

Ini sekali lagi membuktikan tiada negara atau individu mampu bertahan bersendirian apabila berdepan Covid-19. China akan terus bekerjasama dengan negara lain, berusaha tanpa henti sehingga menemui kejayaan menentang Covid-19.

- Apakah pandangan anda berkenaan langkah pencegahan dan pengawalan Covid-19 di Malaysia?

Sejak meletusnya pandemik Covid-19, kerajaan Malaysia dan rakyat pelbagai lapisan bersatu-padu, mengambil langkah bagi memerangi pandemik, memulihkan ekonomi dan melindungi kehidupan orang ramai yang mana semuanya telah membuahkan hasil positif dan wajar diberi pujian. Saya berharap dan percaya menerusi usaha semua pihak, Malaysia akan berjaya menentang pandemik dan kembali kepada kehidupan normal.

Dalam proses menangani pandemik Covid-19, China dan Malaysia membekalkan bantuan perubatan, berkongsi pengalaman anti-pandemik antara satu sama lain dan bekerjasama secara komprehensif dalam pemerolehan vaksin, penyelidikan dan pembangunan, ujian klinikal dan pembuatan.

Saya dan rakan sejawat akan meneruskan usahasama anti-pandemik China-Malaysia bagi membantu negara ini menentang pandemik Covid-19. Pada akhir Jun 2021, sebanyak 16 juta dos vaksin Sinovac Covid-19 dari China telah tiba di Malaysia.

Ouyang Yujing (empat dari kiri) dalam satu lawatan ke pejabat Bernama di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ouyang Yujing (empat dari kiri) dalam satu lawatan ke pejabat Bernama di Kuala Lumpur baru-baru ini.

- Baru-baru ini Malaysia dan China meraikan ulang tahun ke-47 jalinan hubungan diplomatik, bagaimana anda menggambarkan hubungan antara dua negara ini sekarang?

China dan Malaysia merupakan jiran, saudara dan rakan dengan persahabatan baik. Kisah tujuh pengembaraan Laksamana Zheng He yang telah melawat Melaka sebanyak lima kali amat popular dalam kalangan rakyat China dan Malaysia, menunjukkan persahabatan akrab antara kedua-dua buah negara.

Selepas penubuhan Republik Rakyat China, Malaysia yang terawal menjalinkan hubungan diplomatik dengan China, menjadi salah satu negara Asean berbuat demikian dan membuka lembaran baharu dalam hubungan mesra dua negara.

Selama 47 tahun menempuhi pelbagai perubahan dan turun naik dalam sejarah, hubungan China-Malaysia sentiasa berkembang baik dan stabil. Kedua-dua negara menikmati kepercayaan politik, kerjasama rapat yang bermanfaat serta persefahaman dan pertalian yang mendalam.

Kerjasama di bawah Belt and Road Initiative misalnya telah mendatangkan hasil lumayan. Dalam landskap semasa antarabangsa yang kompleks, terutama dalam menangani pandemik Covid-19, China dan Malaysia menyokong satu sama lain dalam apa jua keadaan, ini semakin menyemarakkan persahabatan tradisi dan menunjukkan daya tahan kuat dan semangat dalam kerjasama dua hala.

Kami berbangga mengatakan hubungan China-Malaysia telah bertahan sekian lama dan akan terus makmur. Saya menantikan perkembangan hubungan mesra China-Malaysia dengan penuh keyakinan.

Pada akhir Jun 2021, sejumlah 16 juta dos vaksin Sinovac Covid-19 dari China telah tiba di Malaysia, termasuk 8.42 juta dos vaksin siap dan 4800 liter vaksin siap diisi (bersamaan dengan kira-kira 7.6 juta dos). Di antaranya, tujuh juta dos vaksin siap dan 1400 liter vaksin siap diisi (bersamaan dengan kira-kira 2.2 juta dos) telah tiba pada sepanjang Jun lalu.

Pada separuh kedua tahun 2021, China akan memberikan vaksin sebanyak mungkin sesuai dengan permintaan Malaysia.

- China dan Malaysia merupakan rakan rapat dalam hubungan ekonomi, adakah terdapat sebarang isu dihadapi kedua-dua negara berikutan pandemik Covid-19 dan adakah China akan membangunkan lebih banyak projek pelaburan di masa akan datang?

Di sebalik kesan pandemik Covid-19, tekanan terhadap ekonomi global, kebangkitan fahaman perlindungan perdagangan dan beberapa faktor lain yang tidak menyenangkan, China dan Malaysia terus bekerjasama rapat bagi mencapai pertumbuhan dalam kerjasama ekonomi dan perdagangan.

Pada tahun 2020, jumlah perdagangan dua hala antara China dan Malaysia sekali lagi melepasi aras AS$100 bilion (RM 415.34 bilion) untuk mencapai paras tertinggi AS$131.16 bilion (RM 544.76 bilion) yang merupakan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 5.7 peratus.

China juga kekal rakan perdagangan terbesar Malaysia untuk 12 tahun berturutturut dan Malaysia pula adalah rakan perdagangan kesembilan terbesar untuk China. Setakat tahun lalu, pelaburan China di Malaysia berjumlah AS$17.26 bilion (RM 71.69 billion) dan China kekal sebagai sumber pelaburan langsung asing terbesar dalam sektor pembuatan Malaysia selama lima tahun berturut-turut.

Projek besar termasuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Two Countries, Twin Parks dan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (EDTP) turut berjalan lancar.

Skop pelaburan juga semakin pelbagai merangkumi taman-taman industri, infrastruktur, pembuatan peralatan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan ekonomi digital. Syarikat-syarikat China di Malaysia memainkan peranan aktif dalam perkembangan ekonomi dan sosial Malaysia. Kebanyakan syarikat pembuatan China di Malaysia memusatkan pengeluaran di sini sementara mengeksport barangan ke pasaran luar negara tanpa memberikan tekanan negatif kepada syarikat Malaysia yang serupa.

Mereka mewujudkan banyak peluang pekerjaan untuk warga tempatan dan menambah jumlah rizab asing di Malaysia. Ambil Alliance Steel sebagai contoh, mereka melabur dan membina kilang keluli di Pahang dan menggaji lebih 2,000 pekerja tempatan. Ia mengeksport lebih 2.4 juta tan keluli berkualiti setiap tahun, menambah nilai eksport AS$1.3 bilion (RM 5.40 billion) untuk Malaysia, menggandakan keseluruhan hasil Pelabuhan Kuantan dan menjadi enjin pembangunan penting kepada ekonomi tempatan.

Dalam bidang teknologi tinggi, syarikat-syarikat China turut memanfaatkan kelebihan untuk berintegrasi ke dalam strategi pembangunan nasional Malaysia terutama dalam ekonomi digital.

Sebagai contoh, sejak Kumpulan Alibaba dan kerajaan Malaysia melancarkan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) pada tahun 2017, Alibaba Cloud, tulang belakang kepintaran teknologi digital Kumpulan Alibaba mengumumkan pada Jun 2021 akan melancarkan Alibaba Cloud Innovation Center di Kuala Lumpur. Ini merupakan pusat inovasi antarabangsa pertama terletak di luar China, ia bertujuan menyediakan persekitaran kondusif untuk startup dan memupuk bakat tempatan, mempersiapkan mereka untuk masa depan digital.

Sebagai hub penting Maritime Silk Road abad ke-21, Malaysia memiliki lokasi geografi dan persekitaran peniagaan yang baik. Ia adalah destinasi ideal untuk pelaburan. Saya percaya perniagaan China akan terus mencipta perkembangan hebat di sini. Dalam era pasca-pandemik, China bersedia meningkatkan kerjasama dengan Malaysia dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan, pembinaan infrastruktur, ekonomi digital, pembuatan dan pertanian moden.

China menggalakkan perusahaannya melabur di Malaysia mengikut peraturan pasaran dan dasar komersial bagi mencapai manfaat bersama dan situasi menang-menang.

Ouyang Yujing dalam pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Ouyang Yujing dalam pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

- Adakah anda melihat adanya solusi berhubung isu Laut China Selatan tanpa menjejaskan persahabatan kedua-dua negara?

Walaupun China dan Malaysia berbeza posisi berhubung isu Laut China Selatan, kerajaan kedua-dua belah pihak bertindak menyelesaikan peselisihan dan menguruskan perbezaan menerusi dialog dan rundingan dengan niat baik dan ikhlas.Kita mengekalkan hala tuju kerjasama baik, membuat sumbangan positif bagi mempromosi keamanan serantau, stabiliti dan kemajuan. Keamanan dan stabiliti di Laut China Selatan merupakan kepentingan bersama China dan Malaysia.

Saya percaya jalan terbaik menyelesaikan perselisihan adalah menerusi rundingan oleh negara-negara yang terlibat secara langsung dan kunci menguruskan perbezaan adalah menerusi mekanisme rule-of-law yang efektif.

China akan terus mempertingkatkan dialog dan rundingan bersama Malaysia selain komited dengan implimentasi Deklarasi Tatalaku Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DoC) dan berusaha mempercepat rundingan berhubung penyempurnaan Tatakelakuan Pihak-pihak di Laut China Selatan (COC).

Selain itu, saya juga percaya kita perlu menjalankan pembangunan bersama dan pada masa sama mengenepikan perbalahan. Ini adalah cara praktikal dalam memajukan kerjasama.

China bersedia mempertingkatkan kerjasama maritim pragmatik dan mempromosi pembangunan bersama dengan Malaysia. Saya berharap menerusi usahasama antara kedua-dua buah negara, kita boleh menjadikan Laut China Selatan sebagai lautan keamanan, persahabatan dan kerjasama.

Pengalaman enam bulan di Malaysia

- Sejak menjadi Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia pada Disember 2020, apakah cabaran terbesar yang pernah anda hadapi?

Dalam tempoh enam bulan sejak menyandang jawatan Duta Besar China ke Malaysia, saya banyak bergaul dengan rakan-rakan Malaysia daripada kerajaan, Parlimen, parti politik, media, kumpulan pemikir dan komuniti tempatan. Saya amat kagum dengan semangat dan aspirasi mereka untuk mempromosi hubungan China-Malaysia.

Namun, disebabkan pandemik kita tiada pilihan selain menekan butang ‘pause’ dalam interaksi luar talian dan ini menimbulkan cabaran besar kepada kerja-kerja kami.

Dalam pada itu, kita turut menyaksikan normal baharu telah mencetuskan kerjasama dalam bidang baharu antara kedua-dua buah negara termasuk e-perniagaan, ekonomi internet dan ekonomi digital.

Peranan industri baharu dalam memacu penggunaan dan pelaburan semakin meningkat. Kedua-dua buah negara telah melaksanakan banyak aktiviti maya merentasi pelbagai sektor dan di semua peringkat.

Selagi kedua-dua belah pihak mengekalkan komunikasi dan kerjasama, kita mampu menukar cabaran menjadi peluang, mencipta lebih banyak kemungkinan untuk perkembangan hubungan China-Malaysia.

- Sepanjang berada di Malaysia, apa satu perkara yang anda rasakan unik tentang negara ini?

Slogan, ‘Malaysia, Truly Asia’ amat terkenal seluruh dunia. Malaysia adalah negara berbilang kaum di mana rakyatnya hidup bersatu penuh harmoni. Penyatuan antara Melayu, Cina dan India melahirkan kebudayaan Malaysia yang cukup unik.

Saya telah merasai pengalaman Tahun Baharu, Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Thaipusam di Malaysia. Melihat rakyat berbeza etnik mematuhi peraturan pandemik dan pada masa sama cuba mencipta suasana keramaian, membuatkan saya merasai semangat postif, optimistik dan harmoni serta turut meningkatkan kefahaman saya tentang perbezaan budaya di Malaysia.

Terdapat banyak persamaan antara budaya negara China yang mempunyai 56 kumpulan etnik dengan Malaysia. Kedua-dua negara mendukung nilai seperti keharmonian, tolak ansur dan keramahan.

Rakyat kedua-dua buah negara boleh menerokai lebih banyak pertukaran dan interaksi bagi memantapkan pembelajaran kebudayaan secara bersama dan meningkatkan hubungan antara sesama insan.

Saya juga berharap dapat melawat seluruh Malaysia selepas pandemik ini dapat dibendung untuk melihat pemandangan tropika indah, menikmati juadah tempatan yang enak dan merasai pengalaman kepelbagaian budaya yang unik.