100 kios burger percuma bantu individu hilang pekerjaan

Noh (dua dari kanan) dan Muhammad Shahrizal (kanan) bergambar bersama jawatankuasa RFC di kiok burger di Kampung Sungai Terap pada Sabtu.
Noh (dua dari kanan) dan Muhammad Shahrizal (kanan) bergambar bersama jawatankuasa RFC di kiok burger di Kampung Sungai Terap pada Sabtu.
A
A
A

TANJONG KARANG - Random Family Charity (RFC) menawarkan 100 kios burger percuma kepada mana-mana individu yang hilang pekerjaan di sekitar Selangor untuk memulakan perniagaan mereka.

Presidennya, Muhammad Shahrizal Jailani berkata, inisiatif itu dilakukan bagi membantu mereka yang hilang mata pencarian akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, sehingga kini, sebanyak 21 kios burger telah diusahakan di negeri ini bagi menambah sumber pendapatan mereka yang terjejas.

"Kita menerima banyak permohonan untuk membuka kios burger daripada mereka yang ingin keluar daripada belenggu kemiskinan.

"Jadi kita beri mereka peluang untuk berniaga burger dengan penetapan setiap kios beroperasi dalam anggaran sejauh lima kilometer," katanya kepada Sinar Harian pada Majlis Penyerahan 'Food Bank' di Kampung Sungai Terap di sini pada Sabtu.

Muhammad Shahrizal berkata, selain menyediakan kios, pihaknya turut mengambil dua inisiatif lain bagi membantu penduduk yang hilang punca pendapatan.

Katanya, sebanyak tiga pusat food bank disediakan di tiga kawasan sekitar Tanjong Karang iaitu di Sungai Terap, Kampung Haji Razali dan Taman Desa Jaya.

Selain itu, katanya, inisiatif lain ialah dengan turun padang menyampaikan sendiri barangan keperluan kepada golongan yang memerlukan.

Artikel Berkaitan:

"Antara kampung yang telah kami sampaikan sumbangan bakul makanan kepada penduduk ialah di Bagan Pasir, Kampung Baru Pasir Penambang dan Kampung Tok Adam," ujarnya.

Inisiatif dilakukan RFC itu turut mendapat pujian daripada Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar yang hadir memberikan sokongan.

Noh berkata, usaha dilakukan badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada pelbagai kaum itu wajar dipuji ketika negara berdepan pandamik Covid-19.

"Kesemua mereka ini terdiri daripada anak muda dan berusaha sendiri mencari dana untuk menyalurkan sumbangan kepada golongan memerlukan," katanya.

Noh yang juga Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) berkata, usaha dilakukan RFC sama seperti dilakukan PUNB yang memperkenalkan Skim Pembiayaan Usahawan Terkesan Covid-19 (SPUR).

Katanya, SPUR menawarkan pembiayaan antara RM50,000 hingga RM100,000 dalam membantu individu bumiputera menceburi bidang perniagaan disebabkan mereka hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

"Konsepnya sama dengan apa yang telah dilaksanakan PUNB dan berharap NGO ini dapat terus memainkan peranan untuk bersama-sama membantu mereka yang terjejas," katanya.