Indonesia cipta rekod Covid-19

Susunan MIR AZRI SHAHRUDIN

Orang ramai mengerumuni sebuah kedai mengisi semula tabung oksigen di Jakarta pada 30 Jun lalu. - Foto AFP
Orang ramai mengerumuni sebuah kedai mengisi semula tabung oksigen di Jakarta pada 30 Jun lalu. - Foto AFP
A
A
A

JAKARTA - Indonesia mencatatkan rekod kematian akibat jangkitan pandemik Covid-19 melebihi 1,000 orang buat kali pertama dalam tempoh 24 jam berdasarkan angka rasmi yang disiarkan oleh agensi pengurusan bencana negara itu pada Rabu lalu.

Negara yang paling teruk dilanda Covid-19 di Asia Tenggara itu mempunyai lebih 270 juta penduduk turut mencatatkan 34,379 kes sehari dalam tempoh 24 jam pada hari yang sama.

Namun, pada Jumaat lalu, sebanyak 34,124 kes Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam dan 871 orang meninggal dunia menjadikan lebih 2 juta orang telah dijangkiti pandemik itu secara keseluruhan dan lebih 64,000 kematian dicatatkan.

Kenaikan kes secara mendadak disebabkan oleh varian Delta dari India menyebabkan hospital-hospital di Pulau Jawa mengalami kesesakan dengan pesakit dan sekali gus menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan oksigen.

Varian Delta itu dikesan di wilayah Kudus, Jawa Tengah dan dianggap pusat penyebaran Covid-19 yang berlaku secara mendadak selepas ia dikesan buat kali pertama di wilayah tersebut pada Mei lalu.

Peningkatan kematian turut menyebabkan empat daripada lima kawasan perkuburan khas untuk pesakit yang meninggal dunia akibat Covid-19 turut ditutup kerana sudah penuh.

Salah seorang petugas, Yasin Wisanggeni yang menguruskan pengebumian pesakit Covid di Yogyakarta mengakui kepada sebuah portal berita negara tersebut bahawa beliau hampir pengsan ketika bertugas akibat keletihan semasa bertugas yang disebabkan jumlah mayat semakin meningkat.

Artikel Berkaitan:

Petugas di kawasan perkuburan melakukan pengebumian pesakit Covid-19 di Jakarta. - AFP
Petugas di kawasan perkuburan melakukan pengebumian pesakit Covid-19 di Jakarta. - AFP

Selain itu, Indonesia yang turut mengalami masalah kekurangan tabung oksigen sehingga menyebabkan ada pihak sanggup menipu dengan membuat iklan palsu menjual tabung tersebut di media sosial.

Justeru, seramai tiga orang ditangkap di Sulawesi Selatan kerana melakukan penipuan selepas polis di Jakarta menyatakan bahawa ketiga-tiga suspek ditangkap selepas wang mangsa dipindahkan ke akaun mereka tetapi tabung oksigen itu tidak diterima.

Difahamkan beberapa buah hospital di Kota Solo, Pulau Jawa turut mengalami masalah kekurangan bekalan tabung oksigen sehingga menyebabkan Ketua Palang Merah Indonesia cawangan Solo, Sumartono Hadinoto meminta bantuan supaya tabung oksigen dihantar ke hospital tersebut.

Malah, bilik kecemasan di sebuah hospital kerajaan di Bandung juga ditutup selepas ia mengalami masalah kekurangan tabung oksigen di tengah-tengah pembelian panik tabung itu oleh penduduk susulan peningkatan kes Covid-19 di Jawa Barat.

Timbalan Datuk Bandar Bandung, Yaya Mulyana berkata, orang ramai melakukan pembelian panik tabung itu sedangkan mereka tidak memerlukannya dan keadaan itu menyebabkan berlakunya masalah kekurangan tabung tersebut.

Di sebuah hospital di Yogyakarta, 63 pesakit Covid-19 dilaporkan meninggal dunia dalam tempoh sehari dengan 33 daripadanya meninggal dunia ketika hospital tersebut mengalami masalah kekurangan bekalan cecair oksigen.

Beberapa kakitangan perubatan menolak katil yang membawa jenazah pesakit Covid-19 di sebuah hospital di Bekasi pada 1 Julai lalu. - AFP
Beberapa kakitangan perubatan menolak katil yang membawa jenazah pesakit Covid-19 di sebuah hospital di Bekasi pada 1 Julai lalu. - AFP

Indonesia sebelum ini menyumbangkan 3,400 tabung oksigen kepada India ketika negara tersebut mengalami masalah kekurangan tabung itu ekoran lonjakan kes Covid-19.

Berikutan kenaikan kes pandemik itu di Indonesia, rancangan untuk menghantar 2,000 lagi tabung oksigen ke India terpaksa dibatalkan.

Pada Jun lalu, kenaikan kes Covid-19 menyebabkan ramai penduduk Indonesia mendapatkan rawatan di hospital-hospital terutamanya di Pulau Jawa kerana dijangkiti pandemik tersebut dan ketika itu negara tersebut belum mengalami masalah bekalan tabung oksigen.

Dalam pada itu, orang ramai dilihat beratur panjang di sebuah pusat pengisian tabung oksigen di Jakarta Selatan untuk digunakan kepada anggota keluarga mereka yang dijangkiti dengan Covid-19.

Seorang pelanggan dilaporkan berkata bahawa beliau hanya membayar sebanyak 18,000 rupiah (RM5.21) untuk mengisi tabung oksigennnya manakala harga yang dikenakan berbeza mengikut saiz tabung tersebut.

Selain itu, ubat yang digunakan untuk merawat jangkitan parasit iaitu Ivermectin turut menjadi rebutan di Indonesia selepas media sosial menyatakan ia berpotensi untuk merawat Covid-19.

Kekurangan bekalan ubat tersebut menyebabkan harganya meningkat dari kira-kira 175,000 rupiah (RM50.62) kepada 300,000 rupiah (RM86.78) untuk satu botol.

Lonjakkan kes tersebut juga menyebabkan seorang pakar ekonomi, Rizal Ramli meminta Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih popular dengan panggilan Jokowi berundur dari jawatannya selepas beliau dikritik di media sosial susulan penularan kes Covid-19.

Setakat petang Sabtu lalu, daripada 2,455,912 kes dilaporkan di negara tersebut, sebanyak 2,023,548 kes telah sembuh semula daripada pandemik Covid-19 itu.