Polis siasat video, gambar majlis langgar PKP

Polis
Polis
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menjalankan siasatan lanjut berhubung penularan video dan gambar serta siaran langsung menerusi Facebook memaparkan majlis yang dihadiri oleh beberapa individu dipercayai diadakan di sebuah premis di Bandar Manjalara Kepong di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, penganjuran majlis berkenaan dimuat naik oleh seorang individu.

"Siasatan awal dijalankan mendapati terdapat satu majlis yang dijalankan secara langsung menerusi Facebook bertempat di sebuah premis pada 7 Julai lalu kira-kira jam 7.30 petang.

"Menerusi siaran langsung tersebut turut memaparkan seorang lelaki dipercayai telah merentas negeri dari Melaka dan seorang perempuan dipercayai telah merentas negeri dari Johor Bahru untuk menyertai majlis tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, pasukan pematuhan Ops Covid Kepong turut menjalankan pemeriksaan ke atas premis tersebut.

"Penelitian tiga video dan tiga gambar yang dimuat naik di akaun Facebook milik seorang individu mendapati terdapat lebih kurang tujuh individu telah membuat siaran langsung melalui Facebook berkaitan majlis tersebut.

"Individu terbabit memuat naik video dan gambar tersebut dipercayai kerana tidak berpuas hati dengan tindakan kesemua individu yang terlibat dalam kejadian ini kerana dengan jelas telah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tidak memakai sebarang pelitup muka semasa majlis tersebut diadakan," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan pasukan pematuhan Ops Covid mendapati, premis tersebut menjalankan perniagaan membekalkan makanan sejuk beku.

Artikel Berkaitan:

"Semakan terhadap dokumen SSM ​​(Suruhanjaya Syarikat Malaysia) mendapati syarikat tersebut sah didaftarkan, namun pemeriksaan ke atas dokumen Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) mendapati syarikat ini telah memberikan maklumat palsu dengan alasan menjalankan perniagaan restoran untuk memohon surat kebenaran daripada pihak MITI.

"Kes ini disiasat di bawah Peraturan 17 Akta Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan manakala bagi kesalahan memberikan maklumat palsu terhadap permohonan kebenaran beroperasi telah disiasat di bawah Seksyen 22(D) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.