Bakul makanan ringankan beban golongan terkesan: Fadillah

Fadillah Yusof (kanan) menyampaikan barangan keperluan asas makanan kepada wakil keluarga yang terkesan dengan PKP pada majlis penyerahan bakul makanan di Kampung Sungai Bedil Besar hari ini. -Foto Bernama
Fadillah Yusof (kanan) menyampaikan barangan keperluan asas makanan kepada wakil keluarga yang terkesan dengan PKP pada majlis penyerahan bakul makanan di Kampung Sungai Bedil Besar hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Pemberian bakul makanan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) sedikit sebanyak mampu meringankan beban mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata, inisiatif tersebut juga memberi tumpuan kepada golongan sasaran yang benar-benar memerlukan bantuan.

Beliau berkata, di kawasannya, pemberian bantuan itu telah bermula dan meminta mereka yang hilang pekerjaan atau punca pendapatan berhubung terus dengan Pusat Khidmat Parlimen Petra Jaya untuk mendapatkan bantuan tersebut.

“Mereka yang tercicir daripada menerima bantuan bakul makanan boleh berhubung terus dengan kita (pejabat khidmat),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan itu di Kampung Sungai Bedil Besar pada Sabtu.

Fadillah berkata, seramai 5,000 ketua isi rumah daripada golongan sasar dalam Parlimen Petra Jaya akan mendapat manfaat daripada program itu.

Menerusi Pemulih yang diumum kerajaan pada 28 Jun, sebanyak RM300,000 diperuntuk kepada setiap Ahli Parlimen termasuk daripada pembangkang untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membuat pengumuman itu menjelaskan langkah tersebut diambil kerana kerajaan menyedari kepentingan barangan keperluan asas rakyat dan mengambil sikap mengetepikan perbezaan politik dalam menyampaikan bantuan. - Bernama

Artikel Berkaitan: