Tukar pemimpin bukan perkara pelik: Nur Jazlan

Nur Jazlan
Nur Jazlan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan tindakan bermain politik ketika krisis Covid-19 semakin meningkat di negara ini.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, ada pihak menuduh UMNO tidak sensitif terutama ketika rakyat sedang bergelut dengan pandemik Covid-19 dengan mendesak Perdana Menteri berundur.

"UMNO mahu Perdana Menteri ditukar selepas 16 bulan diberi tanggungjawab untuk menjaga rakyat, namun gagal.

"Sudah banyak keistimewaan diberikan kepada Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menyelesaikan krisis Covid-19 ini.

"Proklamasi darurat, penggunaan bajet tanpa perlu dibentang dan dibahagikan, pelaksanaan bermacam versi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta tiada gangguan politik selama tempoh darurat, tapi apa hasil positifnya? Tiada," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya, persepsi dan realiti tidak sama, lagipun bukan satu perkara luar biasa atau pelik pertukaran pemimpin akibat kegagalan membendung pandemik itu kerana beberapa negara luar sudah melakukannya.

"Paling terkini, 12 menteri di India diarahkan meletakkan jawatan selepas terus gagal menangani wabak Covid-19 yang bertambah teruk di negara berkenaan," katanya.

Ketika ini katanya, selepas peluang diberikan kes jangkitan semakin meningkat, jumlah kematian semakin ramai, sektor kesihatan makin lumpuh, ekonomi merudum, pelabur lari, rakyat sengsara dan hilang pendapatan.

Artikel Berkaitan:

Sepatutnya kata beliau, seorang pemimpin yang gagal mentadbir secara efisien perlu ditukar bagi memastikan krisis Covid-19 di negara ini dapat diatasi dengan pendekatan lain.

"Apatah lagi krisis defisit kepercayaan rakyat terhadap Perdana Menteri semakin merudum atas faktor kegagalan dan kesihatan peribadi. Sepatutnya mereka yang gagal perlu ikhlas mengakui kegagalan itu dan berundur secara terhormat jika benar-benar jujur kepada rakyat," katanya.