Sempena hari lahir, Dr Mahathir doakan Malaysia dimajukan

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyambut ulang tahun ke-96 kelahirannya pada Sabtu mendoakan agar Malaysia dimajukan oleh semua pihak sehingga mencapai matlamat untuk menjadi negara maju.

Bekas perdana menteri itu juga bersyukur kerana diberi masa dan peluang untuk berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara.

"Saya pohon maaf jika ada yang saya lakukan menyinggung mana-mana pihak," kata Dr Mahathir dalam catatan Facebooknya yang turut disertakan dengan sebuah video berdurasi lebih seminit memaparkan beberapa peristiwa ketika beliau mentadbir negara.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada mereka yang menyampaikan ucapan Selamat Hari Lahir kepadanya.

Dr Mahathir yang merupakan perdana menteri keempat dan ketujuh dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Seberang Perak, Alor Setar, Kedah. - Bernama

Artikel Berkaitan: