Kerajaan PN masih sah, bekerja seperti biasa: Takiyuddin

Takiyuddin (tengah) memberikan sumbangan berkenaan kepada penduduk di Kampung Tanjung Chat di sini pada Sabtu.
Takiyuddin (tengah) memberikan sumbangan berkenaan kepada penduduk di Kampung Tanjung Chat di sini pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih lagi sah mengikut perundangan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara tersebut telah dinyatakan dengan jelas oleh Peguam Negara.

"Kerajaan sudah minta pandangan daripada Peguam Negara beberapa hari lepas dan satu pencerahan dari sudut perundangan bahawa kerajaan yang ada sah dalam Perlembagaan dan undang-undang.

"(Urusan) kerajaan berjalan seperti biasa. Saya tidak mahu komen banyak tapi kenyataan Peguam Negara itu jelas bahawa yang menentukan sebuah kerajaan itu adalah ahli Parlimen.

"Setakat ini, kerajaan maklum yang tiada seorang pun lagi ahli Parlimen yang menarik diri daripada menyokong kerajaan, mengikut undang-undang," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu selepas menyampaikan Bakul Makanan menerusi Pakej-Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) di Kampung Tanjung Chat di sini.

Takiyuddin diminta mengulas mengenai dakwaan penarikan sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melibatkan ahli Parlimen dari UMNO pada Khamis lalu.

Penarikan sokongan berkenaan dipolemikkan banyak pihak yang melihat kerajaan kini tidak stabil akibat tindakan tersebut.

Mengulas lanjut, ketika ditanya mengenai sokongan Pas kepada kerajaan, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas mengulangi pendirian Presiden Parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk terus memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan mempertahankan PN.

Artikel Berkaitan:

"Itu jelas kerana kerajaan ini dibina bersama parti yang menyokong dan bukan satu tapi lebih dari 10 parti. Pas tidak nampak ada satu masalah untuk pertahankan kerajaan," katanya.

Sementara itu, ketika mengulas dakwaan sesetengah pihak yang melihat kerajaan gagal menguruskan penularan Covid-19 dengan bijak, Takiyuddin berpendapat kerajaan yang gagal ialah mereka yang pada asalnya menjadi kerajaan namun selepas itu tidak lagi mengemudi kerajaan.

"Itulah kerajaan yang gagal. Orang yang tidak jadi kerajaan kemudian jadi kerajaan adalah kerajaan yang berjaya. Kerajaan yang gagal itu adalah kerajaan yang kalah," katanya.