Agihan bakul makanan Pemulih Parlimen Indera Mahkota bermula

Saifuddin Abdullah.
Saifuddin Abdullah.
A
A
A

KUANTAN - Pengagihan bakul makanan bagi Parlimen Indera Mahkota menggunakan peruntukan RM300,0000 di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bermula Sabtu, kata Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Saifuddin Abdullah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, peruntukan tersebut diterimanya minggu lepas serta digunakan untuk menyediakan 6,000 bakul makanan berisi makanan asas seperti beras, tepung, minyak masak dan susu.

"Kita juga menyediakan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman dalam setiap bakul makanan itu, menggunakan peruntukan selain daripada wang Pemulih.

"Kita juga menerima 500 lagi bakul makanan untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan daripada Bersatu Kebangsaan selain turut menerima sumbangan pelbagai pihak lagi," katanya yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Pahang berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Bengkel Usahawan Pahang: Program Pengupayaan Digital anjuran MyNIC Berhad secara dalam talian di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, penerima bakul makanan itu antara lain adalah berpandukan senarai daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung serta badan bukan kerajaan sekitar Parlimen Indera Mahkota.

"Pasukan pusat khidmat saya juga akan menyampaikan bantuan jika mereka mengetahui atau menerima maklumat mengenai keluarga yang memerlukan termasuk kepada mereka yang memasang bendera putih malah mereka yang memerlukan juga boleh menghubungi atau terus ke pejabat di Indera Mahkota 8 kerana di situ kita ada menyediakan Gerobok Asnaf," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: