Nyaris maut dihempap pokok durian tumbang

Pasukan bomba sedang berusaha mengalihkan pokok durian yang tumbang dan menghempap rumah mangsa.
Pasukan bomba sedang berusaha mengalihkan pokok durian yang tumbang dan menghempap rumah mangsa.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Seorang warga emas nyaris maut apabila sebatang pokok durian berhampiran rumahnya tumbang dan menghempap kediaman itu di Kampung Gertak Sanggul, di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, Tan Liang Sin, 63, berada di bahagian dapur rumahnya manakala isteri dan anak perempuannya berada di ruang tamu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, pokok durian berusia 50 tahun itu tumbang ketika angin kuat di kawasan tersebut.

Menurutnya, pokok sebesar dua pemeluk milik jirannya itu tumbang lalu menimpa bahagian stor dan dapur rumah mangsa.

"Mangsa terkena serpihan pokok yang tumbang dan mengalami calar pada bahagian badan dan tangan. Dia hanya dirawat di rumah manakala isteri dan anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Pihak bomba sedang berusaha mengalihkan pokok tersebut. Keluasan kerosakan pada rumah melibatkan kira-kira 182 meter persegi," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Azrul berkata, pihaknya akan membantu mangsa memasang kain kanvas di bahagian rumah yang rosak untuk sementara waktu.

"Selepas kerja pengalihan pokok dibuat, kita akan memasang kain kanvas bagi mengelakkan rumah mangsa dimasuki air hujan.

"Ia hanya sementara sebelum pemasangan bumbung dan kerja membaik pulih dijalankan," katanya.

Artikel Berkaitan: