Budak dua tahun lemas jatuh dari anjung rumah

Mayat mangsa dibawa ke rumah keluarga untuk pengesahan.
Mayat mangsa dibawa ke rumah keluarga untuk pengesahan.
A
A
A

SANDAKAN - Mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dipercayai lemas selepas terjatuh dari anjung rumahnya di perkampungan atas air Pulau Bai ditemui awal pagi Sabtu.

Mayat, Mohamad Fairul Iman Fairus ditemui dalam keadaan terapung di lokasi 1 batu nautika utara Pulau Bai selepas dilaporkan terjatuh pada tengah hari Jumaat.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, operasi carilamat (SAR) diaktifkan pada jam 6 petang Jumaat sebaik menerima maklumat berhubung kejadian itu.

Menurut beliau, operasi dipecahkan kepada lima sektor meliputi keluasan 27 batu nautika persegi dengan membabitkan lima aset laut terdiri daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Mayat mangsa ditemui terapung oleh penduduk kampung sekitar jam 6.30 pagi tadi di lokasi 1 batu nautika utara Pulau Bai dan dihantar ke rumah keluarga mangsa untuk pengesahan.

"Mayat kemudian dibawa ke Jeti Pejabat Pos Sandakan bersama bapanya dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau memaklumkan, operasi itu kemudian ditamatkan pada jam 8 pagi Sabtu.

Artikel Berkaitan: