'Tengku Zafrul ajak jumpa bincang PPN'

Gambar dari kiri: Dr Mahathir, Tengku Zafrul
Gambar dari kiri: Dr Mahathir, Tengku Zafrul
A
A
A

LANGKAWI - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan kerajaan kemungkinan berhasrat untuk mendapatkan pandangannya dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut Dr Mahathir, beliau dihubungi Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dipercayai untuk berbincang berkaitan jawatankuasa terbabit.

Bagaimanapun, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, beliau belum memberikan keputusan berhubung tarikh bagi pertemuan terbabit.

“Saya tak tahu Menteri Kewangan ini mempunyai idea macam mana nak kurangkan jumlah kes Covid-19, tetapi dia minta nak jumpa saya, tak tahulah, saya tak buat keputusan lagi, dia telefon pagi tadi (Sabtu),” katanya ketika sidang media selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Dewan KEDA Pulau Tuba, pada Sabtu.

Dr Mahathir berkata, untuk menubuhkan badan atau jawatankuasa adalah perkara mudah, namun untuk melaksanakannya secara berkesan memerlukan idea-idea baharu.

“Kita hendak tengok pelaksanaan tu macam mana, hendak buat kerja untuk bagi kurang kes baharu perlukan banyak idea baharu.

"Sebelum ini pun, saya cadangkan tubuhkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dianggotai pakar perubatan, ekonomi dan sebagainya antara usaha kurangkan kes. Sekarang kerajaan tubuhkan badan yang hampir sama peranannya,” katanya.

Menurutnya, beliau berharap agar kerajaan tidak menambahkan lagi kemarahan rakyat dengan beberapa tindakan serta pelan yang disifatkan sia-sia dan hanya memburukkan keadaan.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz secara rasmi dilantik sebagai Menteri Penyelaras bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO), Jemaah Menteri bersetuju Tengku Zafrul memikul tanggungjawab untuk memantau pelaksanaan strategi dan bantuan serta mengambil langkah intervensi yang proaktif dan bersesuaian dengan situasi pandemik yang sangat dinamik.

Mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai PPN (JKKPPN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat turut bersetuju memperkukuhkan lagi beberapa bentuk kerjasama dengan pakar-pakar.

ARTIKEL BERKAITAN: Tengku Zafrul dilantik Menteri Penyelaras PPN