PKPD: Dua kem PLKN jadi asrama pekerja

Saarani (dua dari kiri) meninjau program Jangkauan Komuniti di Dewan Serbaguna Kampung Mak Teh, Tapah Road pada Sabtu.
Saarani (dua dari kiri) meninjau program Jangkauan Komuniti di Dewan Serbaguna Kampung Mak Teh, Tapah Road pada Sabtu.
A
A
A

TAPAH - Dua kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) digunakan sebagai penempatan sementara pekerja membabitkan empat kilang dalam mukim Bidor dan mukim Batang Padang susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Sabtu.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, penempatan itu juga bagi memudahkan proses saringan ke atas pekerja terutama warga asing kerana kilang itu tiada asrama.

Menurut beliau, tindakan itu juga bagi mengesan pekerja yang positif Covid-19 dan diasingkan sebelum pelaksanaan PKPD secara lebih mikro berbanding PKPD melibatkan keseluruhan mukim.

"Jangkitan berpunca daripada empat buah kilang. Pekerja tinggal di beberapa rumah yang disewakan di taman perumahan berhampiran, jadi sukar untuk melakukan sekatan seperti kilang yang ada asrama.

"PKPD juga bertujuan melakukan saringan besar-besaran kepada penduduk setempat dan PKPD secara bersasar akan dilaksanakan selepas keputusan keluar supaya lebih adil kepada mereka yang tidak terlibat," katanya kepada pemberita selepas meninjau program Jangkauan Komuniti di Dewan Serbaguna Kampung Mak Teh, Tapah Road, di sini pada Sabtu.

Jelas beliau, dua mukim terlibat dalam pelaksanaan PKPD membabitkan keluasan yang besar dengan jumlah lebih 22,000 rumah.

Saarani berkata, penduduk dalam kawasan PKPD perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada iaitu perlu berada di rumah kecuali dalam radius 10 kilometer hanya seorang dalam satu kereta.

Menurutnya, bantuan akan disalurkan kepada mereka yang terjejas menggunakan peruntukan sedia ada dan jika tidak mencukupi, kerajaan negeri akan menambah peruntukan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, polis dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan lima laluan keluar masuk ke Mukim Bidor dan Batang Padang di sini ditutup berikutan pelaksanaan PKPD selama dua minggu bermula Sabtu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, penutupan semua laluan itu dilakukan bagi mengawal pergerakan penduduk dan mengekang penularan wabak Covid-19 di kedua-dua mukim terbabit.

Pada Khamis, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di Mukim Bidor dan Batang Padang berkuat kuasa 10 Julai hingga 23 Julai selepas berlaku peningkatan trend kes jangkitan Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Lima laluan ditutup PKPD mukim Bidor, Batang Padang