X

Kindly register in order to view this article
!

Kes denggi di Perak meningkat

Sivanesan ketika sidang media menjelaskan mengenai kes demam denggi di Perak.
A
A

IPOH - Kes demam denggi di Perak mencatat peningkatan sehingga 23 Februari 2019 berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan berkata, jumlah kumulatif kes denggi yang dilaporkan di negeri ini sebanyak 633 kes iaitu meningkat sebanyak 21 peratus berbanding tahun 2018, sebanyak 521 kes.

Katanya, daerah yang mencatatkan peningkatan ialah Kinta iaitu 210 kes berbanding tahun sebelumnya, 163 kes diikuti daerah Larut, Matang dan Selama (93 kes) serta Batang Padang (39 kes).

"Kita telah kenal pasti beberapa kawasan yang mempunyai peningkatan kes antaranya di Taman Silibin dan Taman Klebang Jaya membabitkan pembuangan sampah haram serta rumah terbiar tanpa penghuni. Begitu juga di Tapah terdapat kuarters kerajaan yang terbiar dan tidak diselenggara.

"Jadi kita dah berbincang dengan pihak berkaitan seperti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk mengambil langkah sewajarnya dalam memastikan kawasan itu tidak menjadi sarang nyamuk," katanya kepada media, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Inter-Agensi Negeri Perak bersama Jabatan Kesihatan Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Mengenai kuarters kerajaan terbiar di Tapah, Sivanesan berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada kementerian berkaitan untuk menyelenggara dan membersihkan bangunan tersebut.

Katanya, jika tiada tindakan diambil kerajaan negeri akan bertindak dan segala kos pembersihan akan ditutut daripada kementerian terbabit.

Dalam pada itu, sepanjang tempoh berkenaan juga, dua kematian turut dicatatkan membabitkan denggi iaitu masing-masing di daerah Kinta dan Manjung.

Sivanesan berkata, pihaknya menggesa semua jabatan berkaitan di negeri ini perlu bersama-sama berusaha untuk menyelesaikan peningkatan kes demam denggi tersebut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus