Macma konsisten bantu ahli terkesan akibat Covid-19

Johari (dua dari kanan) menerima sumbangan daripada pihak kastam di pejabatnya di sini.
Johari (dua dari kanan) menerima sumbangan daripada pihak kastam di pejabatnya di sini.
A
A
A

KOTA BHARU - Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) cawangan Kelantan menerima bantuan daripada pelbagai pihak untuk diagihkan kepada ahlinya sepanjang tempoh penularan pandemik Covid-19.

Pengerusi Macma Kelantan, Dr Johari Yap berkata, bantuan berkenaan dapat mengurangkan beban ahli yang kehilangan pekerjaan.

"Alhamdulillah kita sentiasa mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk membantu ahli-ahli kita terutama saudara baharu yang kebanyakannya berhijrah daripada kehidupan terdahulu.

"Dengan bantuan ini, sekurang-kurangnya mereka ada makanan untuk mereka," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Beliau sebelum itu menerima sumbangan makanan asas dan kain batik daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Kelantan yang diserahkan oleh Pengarahnya, Mohd Rakbi Mat Saud di pekarangan pejabat Macma di sini.

Turut hadir, Penolong Kanan Pengarah Kastam I, Azman Jusoh dan Penolong Pengarah Kastam, Ezzy Shahida Ismail.

Mengulas lanjut katanya, Macma juga mempunyai sukarelawan untuk menyampaikan sumbangan beras dan pek makanan dari rumah ke rumah bagi mereka yang tiada pengangkutan atau kesukaran mengambil pek makanan di pejabat Macma.

“Syukur Alhamdulillah, Jabatan Kastam sentiasa cakna dan prihatin masalah masyarakat. Ini bukan kali pertama Jabatan Kastam menyampaikan sumbangan kepada pihak kami.

Artikel Berkaitan:

"Sejak beberapa tahun lepas lagi kami sentiasa mendapat sumbangan daripada mereka. Kenderaan yang digunakan oleh pihak kami untuk menyampaikan sumbangan dari rumah ke rumah juga merupakan kenderaan yang dilupuskan oleh pihak Kastam dan disumbangkan kepada Macma Kelantan.

“Jika ada pihak yang ingin menyumbang boleh menghubungi pihak kami sama ada sumbangan secara peribadi, melalui agensi atau badan bukan kerajaan (NGO)," katanya.