X

Kindly register in order to view this article
!

UPSI tambah baik sistem kewangan, mudahkan urusan pelanggan

UPSI
A
A

TANJUNG MALIM - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menambah baik sistem kewangannya bagi memberi kemudahan dalam urusan kewangan universiti terutamanya ketika berada dalam fasa kawalan pergerakan dan Pelan Pemulihan Negara.

Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed berkata, penambahbaikan sistem MyFIS kepada MyFIS Neo yang berasaskan laman web itu boleh diakses menggunakan pelbagai peranti merangkumi sistem operasi seperti Android, iOS atau Windows.

"Dalam fasa pemulihan ini, ramai kakitangan bekerja dari rumah, jadi sistem ini memudahkan operasi kewangan universiti. Sistem ini juga lebih baik berbanding sistem kewangan terdahulu kerana dibangunkan menggunakan platform pengaturcaraan berasaskan sumber terbuka (open source).

"Pihak UPSI menjadi perintis dalam penggunaan pengaturcaraan dan pengkalan data berasaskan sumber terbuka bagi pembangunan keseluruhan sistem pengurusan universiti,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, sistem tersebut dibangunkan melalui kepakaran kakitangan Pusat Teknologi Maklumat UPSI dengan kerjasama Pakar Bidang Khusus/Subject Matter Expert (SME) bidang kewangan dan perakaunan Jabatan Bendahari UPSI.

Mohamad Najib berkata, sistem tersebut turut mempunyai kawalan keselamatan Public Key Insfrastructure (PKI) melalui penggunaan Sistem Pengesahan Pengguna Berasaskan Sijil Digital (Digicert).

"Digicert berfungsi sebagai komponen yang mengesahkan ketulenan atau keaslian transaksi yang dilakukan dalam Sistem MyFIS Neo bagi memastikan individu yang dibenarkan sahaja melaksanakan transaksi tersebut.

“Sistem yang menggantikan Sistem MyFIS ini turut dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan lain seperti penyulitan data (Encryption), Secure Socket Layer (SSL) dan Virtual Private Network (VPN)," jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sistem MyFIS Neo juga membantu mempercepatkan proses penutupan akaun dan penyediaan penyata kewangan UPSI bagi 2020 yang telah selesai sepenuhnya pada Januari tahun ini.

"Ia juga dapat beroperasi secara bersepadu dengan sistem pengurusan universiti yang lain seperti Sistem Pengurusan Sumber Manusia, Portal kakitangan, pelajar dan pembekal dan lain-lain lagi di samping menjimatkan kos kerana dibangunkan secara percuma di persekitaran sumber terbuka," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, sistem itu telah sedia untuk dipasar dan dikomersialkan dengan kerjasama anak syarikat UPSI iaitu UPSI Holding Sdn Bhd kepada agensi yang berpotensi seluruh negara khususnya universiti awam, agensi kerajaan dan lain-lain badan berkanun. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!