X

Kindly register in order to view this article
!

Masjid bantu warga asing terjejas

Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Azim Taman Semarak mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk warga asing
A
A

NILAI - Pengurusan Masjid Al-Azim Taman Semarak di sini mengambil inisiatif mengagihkan sebanyak 100 bungkusan makanan secara rawak kepada penduduk warga asing di Flat Taman Semarak di sini.

Warga asing terbabit kini dalam keadaan sukar apabila syarikat mereka bekerja tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0

Pengerusi Masjid Al Azim Taman Semarak, Md Fakarudin Ab Rahman berkata, sebanyak 50 keluarga warga asing dan bukan Islam yang dikenal pasti turut menerima bantuan bakul makanan.

"Kita tahu ramai yang tengah susah dan sebagai institusi agama, kita rasa bertanggungjawab untuk membantu kerana mereka juga tinggal dalam kariah kita.

"Sejak PKP 3.0 ini sudah RM70,000 diperuntukkan bagi membantu penduduk yang terjejas," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Warga Rohingya, Furidah Abu Ahmad, 32, berkata, sudah sebulan suaminya, pekerja kilang tidak bekerja menyebabkan mereka kini terputus sumber pendapatan.

"Apabila tidak pergi kerja, gaji pun tiada. Duit yang ada sudah habis kerana perlu bayar rumah sewa.

"Kami pula ada dua anak masih kecil iaitu dua bulan dan empat tahun. Hidup sangat susah sekarang," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui menerima bantuan barangan keperluan daripada Masjid Al Azim Taman Semarak di sini, pada Sabtu.

MD FAKARUDIN
MD FAKARUDIN

Warga Indonesia, Nikmah Shamsudin, 49, memberitahu, mereka terpaksa mencatu makanan untuk berjimat.

Katanya, sudah sebulan dia tidak bekerja dan tinggal menyewa bersama tiga rakan senegara dengan bayaran RM400 sebulan.

"Ada ketikanya kami hanya makan roti yang dikongsi bersama. Terima kasih kepada pihak masjid yang memberi bantuan," katanya.

Selain itu warga Bangladesh, Mohamad Syafiq, 35, tidak sabar mahu bekerja seperti biasa selepas sebulan hanya duduk di rumah.

"Saya sudah lapan tahun tinggal Malaysia tetapi ini pertama kali rasa sangat susah kerana gaji pun tiada. Saya tidak mahu meminta tolong dengan siapa. Tapi apabila masjid ada bagi bantuan, saya rasa lega," katanya.

Furidah dan suaminya bersama bayi mereka berusia dua bulan mengambil kotak bantuan makanan
Furidah dan suaminya bersama bayi mereka berusia dua bulan mengambil kotak bantuan makanan


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!